Norman Hakim Khalwat lagi


KUALA LUMPUR 30 Okt. - Pelakon drama bersiri Gerak Khas, Norman Hakim yang ditangkap berkhalwat dengan seorang pelakon baru di sebuah premis perniagaan di Jalan UP 1/2, Ukay Perdana dekat sini awal pagi tadi mendakwa kejadian itu berlaku secara kebetulan.

Menurut Norman, 30, ketika diserbu oleh pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), dia dan pelakon itu masing-masing berada di tingkat yang berlainan di premis berkenaan.

"Selepas taklimat di pejabat itu, saya menghantar Ketua Pegawai Operasi syarikat pulang. Pada masa itu tanpa saya ketahui, pembantu saya, Natalie turut pulang.

"Sekembalinya ke pejabat selepas itu, saya terus ke tingkat atas manakala dia (pelakon wanita itu) pula berada di tingkat bawah. Tiba-tiba, kami diserbu dan ditahan," kata Norman kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mereka yang dipercayai berkhalwat, ditangkap dalam operasi melibatkan lima pegawai JAIS dan dua pegawai polis.

Pasangan itu dibawa ke Balai Polis Melawati untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang, Supritendan Amiruddin Jamaluddin yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam tentang pasangan itu yang meragukan.

''Ketika diperiksa, didapati kedua-duanya yang berpakaian lengkap berada dalam premis itu,'' katanya.

Pengarah JAIS, Datuk Muhamed Khusrin Munawi ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penahanan kedua-dua artis tersebut awal pagi ini.

Norman berkata, dia sudah memberi keterangan di Pejabat Agama Islam Gombak Timur di Keramat, Hulu Kelang, Selangor beberapa jam selepas ditahan.

Norman meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi kononnya dia dan pelakon wanita berusia 20 tahun itu, mempunyai hubungan intim.

Dia bimbang perasaan isterinya yang juga pelakon siri Gerak Khas, Abby Abadi akan terguris.

Norman yang baru saja menimang cahaya mata ketiga, Maria Danisha Hakim yang berusia 40 hari bagaimanapun berkata, dia sudah menjelaskan keadaan sebenar kepada isterinya.

Norman dan Abby pernah bercerai talak satu pada 5 Mei 2006. Bagaimanapun, mereka rujuk semula dalam tempoh yang singkat.

Bagaimana masa depan anak-anak mereka di harap Abby Abadi dapat bersabar kerana setiap musibah itu ada hikmahnya yang paling besar.

Pasangan itu mempunyai dua cahaya mata lain iaitu Danish Hakim, 5, dan Marisa Dania Hakim, 3.

Sementara itu, Abby Abadi ketika dihubungi berkata, dia tidak terkejut dengan penahanan suaminya itu.

''Saya tak terkejut. Saya menyerahkan kepada takdir bagi menentukan segala-galanya,'' katanya yang hanya mengetahui penahanan suaminya daripada pihak media.

Kenangan Lalu-Norman jadi `doktor @Bidan Bersalin'

Kenangan Lalu Norman Hakim & Abby Abadi
Abby bersalin dalam kereta Norman jadi `doktor'




NORMAN Hakim memangku anaknya, Marissa Dania, bersama Abby Abadi dan anak sulung mereka, Mohamed Danish Hakim di wad Klinik Bersalin Kohilal, Kuala Lumpur, semalam. - Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED.

KUALA LUMPUR 2 Julai - Pelakon popular Abby Abadi bersalin di dalam kereta, sementara suaminya, pelakon terkenal Norman Hakim menjadi `doktor' menyambut bayi itu.

Ia mungkin seperti babak dalam drama yang dilakoni mereka. Namun situasi itu bukan dalam drama, tetapi benar-benar berlaku kepada pasangan suami isteri itu pagi ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.55 pagi apabila Abby atau nama penuhnya, Arbaieyah Abdul Manan, 27, yang sarat mengandung tidak sempat tiba di Klinik Bersalin Kohilal di Taman Melawati di sini untuk bersalin.

Kelahiran bayi perempuan seberat 3.2 kilogram itu disambut oleh Norman di dalam keretanya di tepi jalan, 500 meter dari rumah mereka di Ukays Perdana di sini.

Bayi yang dinamakan Marissa Dania Hakim itu adalah anak kedua pasangan terbabit.

Norman atau nama betulnya, Mohamed Nurhakim Zaidon, 29, membidankan sendiri isterinya sehingga bayi itu selamat dilahirkan sebelum mereka meneruskan semula perjalanan ke klinik terbabit.

Norman yang ditemui Mingguan Malaysia di Klinik Bersalin Kohilal memberitahu, beliau menyangka Abby hanya mengalami sakit perut seperti kebiasaan wanita sarat mengandung memandangkan isterinya itu dijangka bersalin pada 17 Julai ini.

``Saya tidak menyangka apabila keluar dari rumah dalam jarak 500 meter tiba-tiba Abby menjerit, ``kepala bayi dah keluar.''

``Dengan tidak berlengah saya berhenti ke tepi jalan dan terus menurunkan tempat duduk Abby lalu menyambut bayi dengan keadaan yang tenang.

``Apabila mendengar bayi itu menangis, perasaan saya sungguh lega dan membalikkan bayi tersebut sebelum saya azan dan iqamah,'' katanya.

Beliau berkata, selepas itu beliau menghubungi doktor untuk mengetahui cara memotong tali pusat.

Bagaimanapun doktor berkenaan menyarankan beliau supaya membawa terus bayi baru mereka ke klinik.

Sewaktu dalam perjalanan kedua-dua pasangan itu begitu gembira dan masih boleh ketawa dengan kejadian yang tidak mungkin dilupakan itu malah berhenti dua kali di tepi jalan untuk mengambil gambar kenangan menggunakan kamera telefon bimbit.

Tambahnya, mereka tiba di klinik bersalin itu pada pukul 11.10 pagi dan seorang doktor serta tiga pembantunya telah menunggu kedatangan mereka dengan peralatan yang lengkap di pintu belakang klinik berkenaan.

``Sampai sahaja di pintu belakang klinik, doktor berkenaan terus ke arah isteri saya di dalam kereta dan memotong tali pusat anak saya.

``Doktor memberitahu bahawa saya telah melakukan tugas dengan baik iaitu menyambut kelahiran bayi berkenaan,'' ujar Norman.

Menceritakan bagaimana dia dapat menghadapi situasi berkenaan, Norman memberitahu, petua yang paling baik ialah tidak mudah cemas.

Malah katanya, dengan pengalamannya melihat kelahiran anak pertama sebelum ini selain menonton dokumentari mengenai kelahiran bayi menambah lagi pengetahuannya menghadapi kecemasan itu.

Dalam pada itu, Norman memberitahu, beliau akan menjaga kereta Honda Stream di mana bayi itu dilahirkan.

Sementara itu, Abby berkata, pengalaman itu sangat manis dan tidak dapat dilupakan buat selama-lamanya kerana ia jarang sekali berlaku.

Menurutnya, beliau memuji tindakan suaminya yang tenang menghadapi situasi yang mencemaskan itu malah turut memberi semangat kepadanya.

``Sewaktu suami saya sambut kepala bayi itu, saya memberi kata semangat, `hidup Norman Hakim' berkali-kali.

``Selepas semuanya berjaya, kami sangat gembira dan ketawa dengan aksi masing-masing menghadapi situasi yang begitu mencemaskan itu,'' katanya

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Click the Titles below for more details.