amy,amy search,awie wings,awie wings mp3,konsert double trouble,kumpulan wings,opera hidup wings,tiada lagi amy search,wings,wings sejati,Gadisku, Taman Rashidah Utama, Nurnilam Sari, Rozanna, Misteri Mimpi Syakila,Bernafas Dalam Lumpur

 
 
 
HUJAN lebat pada sebelah petang tidak memadamkan semangat peminat legenda rock, Search dan Wings untuk menyaksikan Konsert Double Trouble (KDT) di Arena Tertutup, Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur, malam kelmarin.
Sejak jam 5 petang, peminat dari seluruh pelosok tanah air sudah memenuhi pekarangan Bukit Kiara walaupun mengikut jadual, KDT bermula jam 8.45 malam. Kebanyakan pemandu meletakkan kenderaan di bahu jalan sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh kira-kira tiga kilometer.

Laluan lebuh raya di hadapan Bukit Kiara yang mempunyai tiga lorong dipenuhi kenderaan seperti lori, kereta dan motosikal diletakkan di bahu jalan sehingga mengakibatkan laluan sesak. Hanya satu lorong kenderaan saja yang dapat melintasi laluan itu.


Boleh dikatakan kesesakan lalu lintas yang berlaku di sekitar Bukit Kiara setiap kali berlangsungnya konsert atau program hiburan bukan lagi masalah besar buat peminat. Pihak penganjur sendiri turut menyediakan beberapa alternatif untuk mengurangkan kesesakan berkenaan, namun situasi sama tetap berulang.


Sejak dari awal, pintu pagar Arena Tertutup dibuka jam 5.30 petang. Peminat yang hadir tidak melepaskan peluang mendapatkan sudut terbaik dan berhampiran pentas untuk melihat persembahan bintang pujaan mereka. Dengan harga tiket yang dibayar RM70 serta menempuh keadaan cuaca dan lalu lintas yang sesak, pastinya memberi kepuasan kepada peminat yang menyaksikan KDT. Konsert yang julung kali menggabungkan dua kumpulan rock terkenal tanah air itu ternyata tidak menghampakan lebih 20,000 peminat yang hadir.


Peminat yang hadir tidak henti-henti melaungkan sorakan menyebut nama dua kumpulan yang berjaya mencetuskan fenomena tersendiri itu.


Masing-masing tidak sabar menantikan kemunculan kumpulan yang mencipta sejarah apabila meraih pelbagai pencapaian dan memenangi anugerah. Konsert anjuran Adeptnet Sdn Bhd berlangsung lancar dan meninggalkan impak yang mendalam buat peminat dua kumpulan legenda rock tanah air yang beraksi hebat lebih dua jam itu. Peminat bukan hanya dihiburkan dengan lagu hit, malah petikan gitar dan skil bermain dram memukau, ditambah pula dengan sistem bunyi yang berkualiti. Walaupun terpaksa bersesak dalam dewan yang tidak sesuai menampung jumlah peminat yang ramai, namun 'kedegilan' peminat menunjukkan betapa kuat sokongan mereka kepada industri hiburan tanah air.


Konsert berkenaan tetap meriah walaupun menghadapi saingan beberapa konsert artis antarabangsa yang turut berlangsung di beberapa venue berbeza di Lembah Klang.


Biarpun kurangnya sokongan daripada pihak penaja besar atau lebih tepat lagi bantuan daripada syarikat telekomunikasi tempatan yang lebih selesa menaja band dari negara luar atau antarabangsa untuk menjayakan persembahan di negara ini, namun KDT berjaya dilaksanakan dengan meriahnya.

Gabungan dua kumpulan rock sensasi menerusi album dengan judul, Double Trouble sekitar 1992 ternyata mengukuhkan jenama kumpulan itu. Hasilnya, album berkenaan terjual melebihi 180,000 unit disusuli siri konsert jelajah ke seluruh negara.


Selepas 17 tahun, gabungan mereka cukup dinantikan peminat. Kerinduan peminat terhadap persembahan mereka terubat dengan aksi memukau barisan pemain muzik dan vokalis kumpulan itu. Menariknya, buat julung kali peminat dapat menyaksikan persembahan solo pemain dram, Yazit (Search) dan Black (Wings). Gabungan mereka tampil dengan skil bermain drama sebagai pembukaan persembahan tepat jam 9 malam.


Persembahan pembukaan menyaksikan gabungan Awie dan Amy menyanyikan lagu Gerimis dengan penuh bertenaga diiringi nyanyian peminat setia mereka yang tidak henti-henti bersorak dan menarik sambil menikmati lagu hit kumpulan itu. Turut menghiburkan, persembahan gitar daripada Joe dan Eddy (Wings), Nasir, Din dan Kid (Search).


Peminat turut dihiburkan dengan persembahan solo Awie dan persembahan solo, Amy. Awie yang popular menerusi filem Zombie Kampung Pisang memaklumkan betapa bersyukur dan berterima kasih kepada mereka yang terbabit berusaha menjayakan konsert berkenaan. Dia yang semakin terkenal dengan sikap komedinya setiap kali menjayakan persembahan, kadang kala mengusik rakannya Amy dan peminat yang hadir.
 
Amy menyanyikan lagu hitnya, Isi dan Kulit serta Isabella manakala Awie menyampaikan lagu Sejati. Begitu juga saat di mana Amy menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan Wings, sebaliknya Awie pula menyanyikan lagu Search dengan mendapat tepukan gemuruh penonton. Beberapa lagu hit mereka dinyanyikan bersama secara medley seperti Gadisku, Taman Rashidah Utama, Nurnilam Sari, Rozanna, Misteri Mimpi Syakila dan Bernafas Dalam Lumpur.


Pastinya, berita yang dimaklumkan Awie buat peminat yang berada di selatan tanah air mengenai kunjungan mereka pada Jun nanti sebagai kesinambungan konsert itu, satu berita yang cukup gembira buat peminat mereka.
 
 
amy,amy search,awie wings,awie wings mp3,konsert double trouble,kumpulan wings,opera hidup wings,tiada lagi amy search,wings,wings sejati,Gadisku, Taman Rashidah Utama, Nurnilam Sari, Rozanna, Misteri Mimpi Syakila,Bernafas Dalam Lumpur


Your E-mail and More On-the-Go. Get Windows Live Hotmail Free. Sign up now.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Click the Titles below for more details.