Sybil Kathigasu ,Elaine Daly

 
KISAH wanita berhati waja, Sybil Kathigasu yang berjuang mempertahankan tanah air daripada penjajahan Jepun dengan menempuh pelbagai penderitaan dan seksaan jarang disebut atau diketengahkan.
Atas hakikat itu, keberanian dan kecekalan jururawat dan bidan berkenaan dipaparkan dalam kempen penjenamaan Astro yang akan ditayang menerusi dua saluran, Astro Prima (105) dan Astro Citra (Saluran 131).

Astro Prima 105 menayangkan dokumentari fakta sejarah arahan Zan Azlee berjudul Suatu Ketika... Siapa Sybil? bermula Jumaat, jam 6 petang, 2 Mei. Melalui Astro Citra, tayangan drama bersiri Suatu Ketika... Apa Dosa Ku arahan Bernard Chauly disiarkan setiap Rabu, jam 9 malam bermula 5 Mei. Untuk memberi kefahaman menerusi dokumentari, kisah Sybil diceritakan dalam bentuk lebih fiksyen berdasarkan memoir No Dream of Mercy yang akan dapat disaksikan melalui drama bersiri lapan episod berjudul Suatu Ketika... Apa Dosa Ku.


Lebih menarik, watak Sybil atau dikenali Sybil Daly dibawakan waris mendiang iaitu cucu saudaranya, Elaine Daly bergandingan bersama Paranee Damodaran sebagai Dr Abdon Clement Kathigasu. Dua program itu membariskan pelakon lama dan baru seperti Beto Kushyairi, Zahiril Azim, Cheryl Samad, Khatijah Tan, Alaina Stephen, Venus Marie Beals, Lash Mokhtar dan Peter Davis. Menceritakan pengalaman selaku teraju wirawati tanah air, Elaine berkata, bukan mudah menghayati watak itu, apatah lagi tidak pernah mengetahui sejarah yang pernah berlaku 60 tahun lalu.


"Pada mulanya, saya memang takut dan tidak tahu bagaimana mahu membawa watak Sybil dengan berkesan. Hasil bimbingan dan kerjasama pengarah, Bernard, saya dapat mengatasi rasa gugup sepanjang penggambaran selama tiga bulan itu.


"Saya pasti menangis setiap kali setiap babak penyeksaan dilakukan. Paling menyayat hati apabila memikirkan bagaimana kecekalan Sybil berdepan kesakitan dan kecederaan teruk apabila kukunya dicabut dan dipaksa minum air sabun sebelum perutnya dipijak tentera Jepun.


"Saya mengambil tempoh yang lama menghayati watak Sybil. Saya banyak membaca buku sejarah lama terutama Faces of Courage mengenai keberanian mendiang. Proses set agak rumit kerana aspek solekan dan mendapatkan rambut yang sama seperti Sybil saja memakan masa lebih dua jam setiap hari.


"Apapun, saya gembira dapat menyiapkan dokumentari dan drama bersiri mengenai nenek saudara yang mempunyai pertalian darah dengan saya. Ia begitu emosional kerana penggambaran dilakukan di lokasi dan rumah pernah didiami mendiang," katanya.


Dokumentari bertajuk Suatu Ketika... Siapa Sybil bakal memberi paparan komprehensif mengenai kisah wanita cekal berketurunan Serani bernama Sybil Kathigasu yang menetap di No 74, Papan, Perak bersama suaminya, Dr Kathigasu semasa zaman penjajahan Jepun.

Beliau banyak membantu memberi rawatan secara rahsia kepada gerila anti-Jepun. Bidan wanita itu satu-satunya perantara berita kepada penduduk Papan kerana hanya beliau saja memiliki radio gelombang pendek diberi nama 'Josephine' ketika itu.


Sybil dan suaminya ditangkap, diseksa dan dipenjara pihak Jepun. Dia meninggal dunia pada 4 Jun 1948 di Britain dan dikebumikan di tanah perkuburan bersebelahan gereja St Michael, Ipoh. Sybil juga wanita tunggal Malaya menerima George Medal atas keberaniannya mempertahankan tanah air. Sementara itu, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Amirullah berkata, sejak memulakan program melalui kisah tragedi dan legenda negara seperti Rosli Dhobi, ramai pihak membuka mata.


"Penerimaan Anugerah Dokumentari Ilmiah Terbaik di Festival Dokumentari Malaysia 2009 melalui Rosli Dhobi, kami komited untuk memberi sokongan terhadap memperkukuhkan nilai sejarah di kalangan rakyat Malaysia.


"Sehingga kini, kami sudah mengetengahkan 10 tajuk melalui kempen itu. Setiap dokumentari dan drama bersiri diketengahkan melalui proses penyelidikan teliti supaya penceritaan tidak terpesong daripada kisah sebenar," katanya.
 
 



Hotmail: Trusted email with Microsoft's powerful SPAM protection. Sign up now.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Click the Titles below for more details.