Akleh
Lebuhraya Ampang
Perangkap maut motosikal
|
KUALA LUMPUR 10 Mac - Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) yang dibuka pada tahun 2001 bertujuan untuk mengatasi masalah kesesakan yang sering berlaku dari Ampang ke pusat bandar raya.
Lebuh raya itu bermula dari arah timur kawasan Wisma Denmark di Jalan Sultan Ismail ke tebing Sungai Klang dan Sungai Ampang dan berakhir di Jalan Ampang berdekatan Taman Ampang Utama.
Panjang keseluruhan AKLEH ialah 7.9 kilometer.
Motosikal pada mulanya tidak dibenarkan menggunakan lebuh raya tersebut atas sebab-sebab keselamatan berikutan tiada lorong motosikal disediakan.
Walaupun terdapat lorong kecemasan di lebuh raya itu tetapi ia masih tidak sesuai untuk dijadikan laluan motosikal, selain akan menghapuskan tujuan lorong kecemasan itu diwujudkan.
Namun, larangan tersebut dimansuhkan pada 19 Jun 2008 bagi meringankan beban pengguna motosikal berikutan kenaikan minyak yang melambung tinggi pada ketika itu.
Walaupun pengumuman itu disambut baik oleh penunggang motosikal tetapi ia dilihat boleh membawa implikasi negatif kepada golongan itu terutama dari segi kejadian kemalangan.
Setelah lebih setahun motosikal dibenarkan menggunakan lebuh raya itu, aduan mengenai kekerapan berlaku kemalangan melibatkan motosikal diterima oleh Utusan Malaysia.
Berikutan itu, satu tinjauan dilakukan dan mendapati, rata-rata penunggang motosikal menunggang secara 'sesuka hati' mereka di lebuh raya itu sedangkan mereka sepatutnya sentiasa berada di sebelah kiri.
Jalan dua lorong yang pada mulanya dikhaskan untuk kenderaan empat roda kini terpaksa dikongsi oleh pemandu kereta dan penunggang motosikal yang hendak cepat ke destinasi.
Masalah akan timbul apabila sikap pemandu motosikal atau kereta sendiri tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri apabila memandu.
Seorang pemandu, Saleh Muhd., 28, tidak menafikan motosikal boleh dianggap sebagai gangguan kepada pemandu kenderaan lain di lebuh raya itu.
Namun, tegasnya, pemandu kereta juga perlu mengubah sikap apabila menggunakan AKLEH dan tidak menganggap lebuh raya itu seperti milik mereka.
"Kita tidak nafikan lorong di AKLEH terhad dan sebenarnya tiada langsung laluan untuk penunggang motosikal, namun pembukaan lebuh raya ini kepada mereka (penunggang motosikal) tidak pernah dipertikaikan sesiapa.
"Kita harus memahami penunggang motosikal juga perlukan jalan yang pantas dan singkat untuk ke destinasi tetapi jika kerap berlaku kemalangan, pihak berkuasa perlu lakukan sesuatu,'' katanya.
Jelasnya lagi, kemalangan atau pergeseran antara kereta dan motosikal yang kerap berlaku terutama pada waktu puncak disifatkan agak serius.
"Cermin sisi kereta saya sendiri sudah beberapa kali dilanggar penunggang motosikal dan pecah namun apa lagi yang boleh dibuat kerana jalan dua lorong sudah menjadi semakin sempit terutama pada waktu petang,'' jelasnya.
Seorang lagi pemandu, Kamil Abdullah, 36, berkata, masalah itu sebenarnya sudah timbul sejak pembukaan AKLEH kepada penunggang motosikal hampir dua tahun lalu.
Tegasnya, banyak kemalangan yang berlaku di lebuh raya itu dikatakan berpunca daripada penunggang motosikal yang tidak mematuhi peraturan
"Banyak kemalangan yang berpunca daripada tindakan penunggang motosikal yang tidak berada di lorong paling kiri serta suka menyelit di tengah-tengah dan kanan jalan.
"Akibatnya, sering berlaku kejadian mereka bergesel dengan kenderaan lain dan lebih malang penunggang motosikal itu terjatuh,'' katanya.
Lebih teruk lagi, katanya, ada penunggang motosikal yang mengalami kemalangan serius akibat berlumba di AKLEH pada waktu malam.
Katanya lagi, beberapa penunggang motosikal dalam kelompok yang ramai pernah menunjukkan aksi yang berbahaya di lebuh raya itu selain tidak menghiraukan pemandu kereta lain.
"Ada juga yang memarahi pemandu kereta apabila terlibat dalam kemalangan di sini. Ada juga penunggang motosikal yang menemui ajal akibat kemalangan,'' katanya.
Seorang lagi pemandu, Abdul Karim Matsah, 41, berpendapat, mungkin kerajaan perlu menimbangkan semula keputusan tidak membenarkan motosikal menggunakan AKLEH.
Katanya, memandangkan harga minyak yang diturunkan dan stabil, sudah tiba masanya larangan motosikal menggunakan AKLEH seperti di awal pembukaannya dikuatkuasakan semula.
"Bukan mementingkan diri sendiri tetapi demi keselamatan dan keselesaan semua pihak terutama penunggang motosikal itu sendiri," katanya.
Dalam pada itu, penunggang motosikal, Mohd. Afizh Daud, 29, menjelaskan, kesalahan tidak harus diletakkan sepenuhnya kepada golongan bermotosikal.
Katanya, laluan itu harus dikongsi bersama walaupun mengakui ada penunggang motosikal yang berdegil dan mengikut lorong paling kanan apabila menunggang.
"Memang tidak ada laluan motosikal pun di sini tetapi kasihanilah kami yang berkenderaan kecil ini,'' ujarnya.
Tambahnya, pihak Projek Lintasan Kota Sdn. Bhd. (Prolintas) yang mengendalikan AKLEH perlu berbuat sesuatu untuk mengelakkan kemalangan yang membabitkan motosikal.
"Mungkin boleh dibuat garisan khas untuk motosikal atau apa sahaja yang boleh mengurangkan kadar kemalangan,'' katanya.
Hotmail: Trusted email with Microsoft's powerful SPAM protection. Sign up now.
No comments:
Post a Comment