Kehebatan wanita
skandal wanita umno
wanita umno
perempuan umno
Kehebatan wanita!
|
TARIKH 20 Februari lalu Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra bergegar dengan tepukan dan sorakan ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang menghadiri Konvensyen Wanita UMNO bertemakan Wanita Nadi Transformasi dan Inovasi Negara.
Riuhnya sorakan lebih ketara apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Puan Sri Noorainee Abdul Rahman masuk ke dewan.
Tepukan mengiringi setiap langkah para pemimpin UMNO - itulah penghargaan Wanita UMNO kepada pemimpin mereka. Tidak berbelah bagi.
Melihat kepada semangat yang ditunjukkan, hati saya berkata-kata, hebatnya wanita!
Mana tidaknya suara dan sorakan mereka kepada setiap kata-kata yang dilafazkan Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hanya mampu dibalas dengan senyuman oleh golongan Adam yang turut serta di dalam dewan tersebut.
Malah setiap kali Datin Seri Rosmah Mansor bangun memberi sokongan kepada ucapan Shahrizat yang menyentuh soal wanita, tepukan gemuruh bergema dan menggamatkan dewan.
Itulah harinya saya menyaksikan semangat Wanita UMNO yang luar biasa. Semangat yang tercetus hasil daripada pra Konvensyen yang berlangsung pada 9 Februari sebelum rumusan keberhasilannya dibawa kepada konvensyen pada 20 Februari lalu.
Pra Konvensyen menyaksikan empat buah Lab yang bersidang, Lab Wanita Peneraju 1Malaysia, Lab Ekonomi Berasaskan Inovasi , Lab Pembangunan Inklusif dan Lab Kepimpinan Politik berbincang dan mendapatkan keberhasilan masing-masing.
Saya sempat ikut sama mendengar dan menyaksikan kesemua peserta yang terlihat dalam Lab berhujah dan berbahas serta melontar idea untuk mencari keberhasilan yang positif.
Memang ketara semangat mereka. Tidak disangka apabila para peserta dari negeri-negeri begitu gagah melontarkan pandangan dan idea mereka. Air tenang jangan disangka tidak ada buaya, itulah ibaratnya.
Saya yakin jika diberi peluang dan kepercayaan, lebih ramai lagi wanita di akar umbi mampu meluahkan pandangan dan idea mereka yang boleh diguna pakai tidak hanya mengharapkan para cendekiawan yang berkelulusan universiti sahaja.
Ketika Pemetaan Keberhasilan itu diserahkan oleh Shahrizat kepada Presiden tepukan dan sorakan gembira para peserta konvensyen seramai lebih daripada 1,000 orang itu hebat bergema.
Terharu rasanya apabila mereka berdiri beramai-ramai tanda sokongan kepada segala usaha bersama yang dilakukan untuk memperkasakan wanita.
Saya dapat merasakan semangat kebanyakan wanita UMNO yang datangnya dari akar umbi kerana saya duduk bersama-sama mereka mengikuti Konvensyen sehingga selesai.
Memang terasa bahangnya. Saya terfikir juga, sekiranya ada 10,000 lagi wanita seperti mereka tidak tahulah saya bagaimana bergegarnya dewan tersebut.
Itulah wanita. Insan yang sering dikatakan lemah tetapi sebenarnya kuat dengan semangat serta pantang dicabar.
Saya perhatikan juga ketika menyanyikan lagu Negaraku, UMNO dan Wanita UMNO mereka menyanyi dengan sepenuh jiwa dan raga seiring dengan perjuangan mereka.
Di situ semangat tertumpah, ilmu dikutip dan kata sepakat diikat untuk sama-sama menggerakkan apa yang telah dipersetujui dan dicapai ke arah merealisasikan Konvensyen Wanita UMNO sebagai Nadi Transformasi dan Inovasi Negara.
Benarlah kata pepatah, sepakat membawa berkat. Itulah yang dipraktikkan wanita UMNO selepas pucuk pimpinannya beralih tangan. Wanita UMNO telah menampakkan perubahan.
Saya pasti pemetaan hasil daripada keberhasilan itu mampu untuk memperkasakan kedudukan Wanita UMNO dalam masyarakat seperti yang dikatakan oleh Najib sebagai tulang belakang atau denyut nadi kepada parti dan negara.
Saya juga setuju dengan kata-kata Shahrizat, era wanita UMNO menjadi jentera pilihan raya semata-mata, pelengkap parti atau sekadar memenuhi korum dan membawa bunga manggar sudah berlalu sebaliknya Wanita UMNO akan berusaha keras memastikan mereka terus relevan kepada masyarakat melalui pendekatan inovasi dan kreativiti tanpa mengetepikan peranan tradisinya.
Jangan jadi seperti melukut di tepi gantang tapi berusahalah untuk masuk ke dalam gantang, itu mungkin ungkapan tepat buat wanita UMNO dalam usaha melakukan anjakan paradigma mereka.
Saya percaya segala yang dikata akan di kota. Perjalanan Wanita UMNO masih panjang dan tidak akan selesai sampai bila-bila. Saya mendoakan semangat dan visi yang digariskan Wanita UMNO dalam konvensyen ini mampu menjadikan wanita Malaysia hebat dari segi intelektual, dan tidak mengabaikan nilai kemanusiaan dalam masyarakat.
Begitu juga apabila Najib memberi restu ke atas penubuhan Kursi Kepimpinan Wanita. Ia adalah untuk memberi tumpuan dalam mengembang dan mempertingkatkan kebolehan wanita memimpin di pelbagai peringkat di peringkat tempatan, negeri, kebangsaan, serantau dan antarabangsa melalui penyelidikan dan latihan.
Penyandang Kursi Kepimpinan Wanita ini pula akan dipilih di kalangan seorang tokoh dalam ilmu kepimpinan yang tentunya bakal memikul komitmen dan tanggungjawab mengembangkan ilmu seni kepimpinan wanita Malaysia.
Penubuhan pusat penyelidikan dan kajian kepimpinan wanita diharap akan terus menggilap dan memantapkan kemahiran wanita dalam usaha melahirkan ramai pemimpin yang cemerlang dan kompetitif di semua peringkat.
Kehebatan wanita sudah menyerlah, kelantangan suara juga sudah terbukti. Namun saya amat tertarik kepada keberhasilan utama kepimpinan politik di mana Wanita UMNO bersiap siap untuk memberikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat secara berterusan dengan mengenal pasti dan membantu menyelesaikan masalah tempatan, kebangsaan dan global.
Antaranya komitmen dan kesediaan wanita UMNO membantu masalah rakyat menerusi saranan Shahrizat supaya perbuatan keji membuang bayi dihentikan.
Malah beliau meminta mereka yang menghadapi masalah untuk menjaga bayi sendiri supaya berjumpa dengan pemimpin Wanita UMNO jika tidak tahu ke mana lagi hendak mendapatkan bantuan. Satu pelawaan yang harus dipuji. Realitinya, hanya wanita sahaja yang memahami masalah wanita.
Menutup kata, syabas dan teruskan perjuangan. Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.
Salam
Your E-mail and More On-the-Go. Get Windows Live Hotmail Free. Sign up now.
No comments:
Post a Comment