Rangka manusia ditemui Nov. lalu berusia 16,000 tahun
KUALA TERENGGANU 10 Mac - Kerajaan negeri hari ini mengisytiharkan rangka manusia yang ditemui di Gua Bewah, Tasik Kenyir pada November lalu berusia 16,000 tahun dan sekali gus merupakan rangka tertua pernah ditemui di negara ini.Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ketika mengesahkan perkara itu berkata, bagi tujuan itu, kerja-kerja penggalian serpihan lain rangka berkenaan akan dilakukan dalam waktu terdekat ini.
"Kita akui, artifak (rangka manusia) yang ditemui di Gua Bewah itu sudah berusia 16,000 tahun, manakala rangka manusia yang ditemui di Perak berusia 13,000 tahun. Ini bermakna, rangka yang ditemui di Gua Bewah ini adalah yang tertua di negara kita.
"Kita akan mula kerja penggalian dalam seminggu dua ini untuk cari tengkorak dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Sebelum ini, akhbar melaporkan penemuan rangka manusia di Gua Bewah, Tasik Kenyir pada November tahun lalu yang disemadikan dalam keadaan merengkok umpama bayi di dalam kandungan itu.
Ia dipercayai berusia antara 8,000 hingga 11,000 tahun yang ditemui.
Penemuan rangka manusia zaman prasejarah itu membuktikan wujudnya kawasan penempatan manusia zaman Mesolitik di kawasan tersebut.
Semasa ditemui, rangka manusia itu dalam keadaan posisi yang dipercayai merupakan cara masyarakat zaman tersebut mengkebumikan mayat.
Pakar Arkeologi dari Institut Tamadun dan Alam Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Prof. Nik Hasan Shuhaimi Nik Abdul Rahman berkata, pihaknya percaya rangka tersebut milik manusia berdasarkan ciri-ciri lengkap tulang yang ditemui menyamai rangka manusia.
Bagaimanapun, katanya, jantina dan umur rangka manusia itu masih belum dikenal pasti dan ia ditemui pada kedalaman 75 sentimeter selain menjadi penemuan terbesar selepas rangka pertama ditemui di Gua Batu Tok Bidan berdekatan gua tersebut pada tahun 1975.
Hotmail: Trusted email with powerful SPAM protection. Sign up now.
No comments:
Post a Comment