Skandal Norman Kru
Norman gembira hasil kerja Nizam
|
BUKAN mudah untuk menghasilkan sesebuah siri muzikal. Apatah lagi, perhatian yang teliti perlu diberikan dalam menyusun dan memastikan lagu-lagu yang digunakan bersesuaian dengan plot penceritaan.
Namun pengarah dan penulis skrip siri Hotel Mania, Nizam Zakaria, bertuah kerana mendapat peluang bekerjasama dengan KRU Studios selaku penerbit.
Kerjasama itu memudahkan kerja-kerja pemilihan lagu malah, kebanyakan lagu yang digunakan dalam siri tersebut ciptaan kumpulan popular itu.
Drama 26 episod, bersiaran setiap Selasa pukul 9 malam di TV3 bermula 2 Mac lalu yang menggantikan siri Tari Tirana di bawah slot Lestary itu bukan sahaja mengimbau lagu-lagu hit KRU tetapi juga lagu-lagu nyanyian artis lain ciptaan tiga beradik popular Norman, Yusry dan Edry itu.
Hampir 200 buah lagu termasuk nyanyian dan ciptaan KRU disenaraikan untuk dimuatkan dalam siri tersebut antaranya Negatif, Tamparan Wanita dan Bila Terasa Rindu.
Barisan pelakon yang menjayakan siri muzikal itu ialah Anding Indrawani, Marsha, Dafi, Ryzal Jaafar, Adam, Zain Ruffedge, Bob, Sheila Mambo dan Adeline Tsen.
Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim ketika ditemui pada sesi pelancaran siri tersebut memberitahu, drama yang dicetuskan oleh KRU sendiri itu mula dirancang penerbitannya sejak Julai tahun lalu.
Menurutnya, konsep penerbitan drama muzikal itu merupakan lanjutan daripada filem Magika yang dihasilkan syarikat berkenaan dan ia merupakan salah satu usaha mendidik penonton menerima produk TV yang baru dan lebih relaks.
Norman selaku pelabur drama berkenaan mengakui, beliau sangat berpuas hati dengan hasil kerja Nizam kerana penghasilan drama muzikal, kata usahawan itu, bukan mudah untuk direalisasikan.
"Nizam berjaya hasilkan sesuatu yang berlainan dan dia memahami aspirasi yang kami mahukan.
"Apa yang menarik, walaupun lagu-lagu yang digunakan terdiri daripada hit KRU dan lagu-lagu lama ciptaan KRU, namun kesemua pelakon siri ini menyanyi menggunakan vokal mereka sendiri," kata Norman.
Sebagai orang lama dalam industri hiburan, ada pendapat yang menyebut, Norman mengaplikasikan formula siri muzikal popular antarabangsa, High School Musical dalam siri Hotel Mania. Persoalannya benarkah pendapat itu?
Menjawab isu ini, Norman meluahkan harapannya agar jangan sesekali audiens membuat perbandingan sedemikian.
Katanya, sebolehnya jangan sesekali menyamakan Hotel Mania dengan mana-mana rancangan televisyen sedia ada.
Konsep yang digunakan dalam drama muzikal terbitan syarikatnya itu disifatkan Norman sekadar pengenalan satu genre baru dalam penghasilan drama-drama tempatan.
Mengelak daripada dikatakan klise dengan mana-mana siri muzikal sedia ada sebelum ini, siri itu pada awalnya diberi tajuk Kolej Mania.
Bagaimanapun, idea berkenaan ditukar kepada Hotel Mania berikutan kisah mengenai kolej sudah sering kali diterbitkan.
"Kisah berkaitan pelajar institusi pengajian tinggi sudah ada sebelum ini sebab itu kita cuba berikan kelainan dengan memaparkan kisah para pekerja hotel pula bagaimanapun, plot ceritanya masih sama," kata Norman mengenai idea berkenaan.
Dalam penghasilan Hotel Mania, Norman tidak hanya berbincang dengan Nizam selaku sutradara semata-mata.
Sebaliknya, dia turut mengambil kira pandangan daripada stesen TV3 khususnya dalam aspek pemilihan pelakon yang rata-ratanya terdiri daripada bintang realiti.
Selain diterajui oleh bintang-bintang Akademi Fantasia, ia turut dijayakan oleh bintang-bintang rancangan realiti lain termasuk Keena (Mentor) dan Mimie (My Starz LG).
"Sangat mudah bekerjasama dengan bintang-bintang realiti. Memandangkan mereka lahir daripada rancangan realiti, maka keserasian mereka antara satu sama lain sudah sedia ada.
"Selain berkebolehan menyanyi, mereka juga mampu menari malah melakukan sendiri koreografi dalam tarian mereka," kata Norman yang menyambung kini pengambaran untuk blok kedua siri tersebut.
Hotel Mania mengisahkan seorang pemuda, Adiwira, seorang graduan dari Sarawak yang datang ke Hotel Mania untuk mencari bapa kandungnya yang tidak pernah dikenalinya.
Ekoran penemuan beberapa keping gambar di rumah lamanya, Adiwira bertekad ke Hotel Mania, tempat yang sering dikunjungi oleh bapanya.
Di hotel tersebut, dia berkenalan dengan Girang, seorang pelajar kolej yang sedang menjalani latihan praktikal.
Adiwira mengambil keputusan untuk bekerja di Hotel Mania sementelah hasrat mencari bapanya tertunai.
Sementara itu, selaku teraju utama Hotel Mania, Nizam ketika diminta mengulas pengalaman pembikinan siri tersebut mengakui, dia berhadapan dengan kesukaran terutamanya dalam mengendalikan barisan pelakon yang ramai.
Selain terpaksa berfikir tentang plot-plot yang menarik, pengarah berjiwa besar itu juga harus memastikan lagu serta mood muzikal sentiasa terkawal sepanjang masa.
"Untuk slot Lestary, kebanyakan ceritanya lebih relaks dan tidak membebankan pemikiran penonton apatah lagi apabila sasarannya lebih kepada remaja.
"Sebagai pengarah dan penulis skrip, saya perlu buat sebuah cerita yang ringan dan ada sedikit komedi di dalamnya.
"Bagaimanapun, ia tidak lari daripada elemen hiburan dan itu merupakan cabaran buat saya dalam menghasilkan siri sebegini," kata Nizam sebelum mengakhiri perbualan.
Hotmail: Trusted email with powerful SPAM protection. Sign up now.
No comments:
Post a Comment