Pedalaman Sabah,Realiti di pedalaman Sabah

 
 

Realiti di pedalaman Sabah



MOHD. Ali Rustam (tengah) mencuba muzik tradisional rakyat Sabah sambil disaksikan Masidi Manjun (dua dari kiri) dan Ampong Puyon (kiri) sempena Program Juara Rakyat di Kampung Kaingiran, Ulu Sugud, Ranau, baru-baru ini.



SAMA ada satu kebetulan atau sudah dirancang, tidak sampai tiga minggu dua pemimpin dari Semenanjung merasai sendiri kesukaran mengunjungi kawasan luar bandar di Sabah.
Pertama apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Saliliran di Pensiangan, tiga minggu lalu.
Dan terbaru, Ahad lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mengunjungi Kampung Kaingaran, sebuah perkampungan terpencil di daerah Ranau.
Apa yang menarik kedua-dua pemimpin itu memilih jalan sukar mengharungi perjalanan darat dan sungai yang sama sekali tidak menyenangkan, memenatkan dan berbahaya.
Jika Mohd. Puad terpaksa mengharungi sungai cetek yang memaksa bot ditolak dan berjalan kaki hampir enam jam, Mohd. Ali pula terpaksa duduk 'melompat-lompat' hampir dua jam di dalam kereta pacuan empat roda.
Semuanya gara-gara jalan batu sepanjang 50 kilometer yang sempit dan berbahaya kerana gelap dan banyak melalui lereng bukit, selain berhabuk ketika kemarau dan menjadi laluan berlumpur ketika hujan.
Selain perjalanan, pemimpin tersebut juga merasai pelbagai lagi kesukaran penduduk pedalaman Sabah seperti Mohd. Puad yang terpaksa berucap dalam kegelapan dan menggunakan pembesar suara apabila bekalan elektrik yang dijana menerusi set janakuasa tiba- tiba terputus. Apa pun kedua-dua pemimpin tersebut tetap cool walaupun diuji dengan perjalanan mencabar dan seribu satu pengalaman penduduk luar bandar.
Mohd. Ali ketika berucap lebih banyak mengusik dan bergurau dengan hampir 300 penduduk Kaingaran dan kampung berdekatan yang setia menunggunya sempena Program Juara Rakyat di Ranau.
Ketua Menteri Melaka itu hadir atas kapasiti selaku ahli Majlis Tertinggi UMNO yang menjadi bapa angkat kepada UMNO Bahagian Ranau.
Ketua Bahagian UMNO Ranau, Datuk Masidi Manjun pula berkata, pemilihan lokasi yang jauh di kawasan pedalaman itu bukan bertujuan untuk 'menyiksa' Mohd. Ali.
''Ia sebenarnya untuk memberi kesedaran kepada semua pihak termasuk diri saya betapa kita masih mempunyai tugas besar dan ada sesetengah cabaran itu tidak mampu ditanggung pemimpin tempatan bersendirian," katanya.
Apa yang dilalui oleh Mohd. Puad dan Mohd. Ali adalah realiti sebenar keadaan di kebanyakan kawasan di pedalaman Sabah.
Malah, sebagai contoh, jalan dilalui oleh Mohd. Ali itu adalah antara yang terburuk di Sabah. Maknanya, ada lagi yang lebih buruk seperti di kawasan pedalaman di Tenom, Pensiangan dan Pitas.
Seperti digariskan oleh kerajaan, kemudahan jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih adalah tiga infrastruktur asas yang masih menghantui lebih 35 peratus penduduk luar bandar di negara ini.
Bagaimanapun keadaan di Sabah dan Sarawak masih jauh lebih teruk berbanding luar bandar di Semenanjung.
''Jika di Semenanjung teruk, di Sabah dan Sarawak, keadaannya 10 kali ganda lebih teruk. Jadi kalau ada Ahli Parlimen kami di sini selalu membuat bising di Dewan Rakyat berhubung perkara ini, jangan marah," seloroh Masidi.
Mengikut statistik Jabatan Perdana Menteri, di Sabah dan Sarawak masih terdapat banyak kampung yang belum dihubungkan dengan jalan raya dan lebih dari satu perempat isi rumah tidak ada akses kepada elektrik. Selain itu, lebih 40 peratus isi rumah di Sabah dan Sarawak masih kekurangan akses kepada air bersih dan air yang dirawat.
Salah satu punca yang menyukarkan kemudahan itu disediakan adalah keluasan dan bentuk muka bumi kedua-dua negeri itu yang bergunung-ganang dan melintasi jaluran-jaluran sungai.
Sebagai contoh daerah Ranau sahaja, mempunyai keluasan yang lebih besar berbanding negeri Melaka. Justeru dengan kesukaran itu pembangunan yang cuba dibawa tidak boleh menjadi kenyataan dalam sekelip mata. Ia memakan masa.
Bagaimanapun, penduduk di kedua-dua negeri itu khususnya di Sabah sebenarnya sudah boleh menarik nafas lega kerana tanda-tanda pembangunan itu semakin menghampiri perkampungan di pedalaman semakin jelas dan nyata.
Malah, jika melihat kepada Kampung Kaingaran, aktiviti membina jalan di kilometer awal di jalan masuk ke kampung berkenaan sedang giat dijalankan. Cuma tidak pasti sama ada pembinaan itu akan sampai ke kampung yang bersempadanan dengan daerah Beluruan itu. Apa yang pasti perubahan yang bakal membawa kemajuan kepada seluruh penduduk kampung di sepanjang jalan berkenaan sedang berlaku.
Dan perubahan itu juga bakal berlaku di kawasan-kawasan lain seperti dapat disaksikan menerusi komitmen Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dalam melaksanakan projek dalam Bidang Keberhasilan Utama Negera (NKRA) berkaitan pembangunan luar bandar.
Di bawah kementerian itu Sabah diberi peruntukan sekitar RM134.9 juta bagi melaksanakan 40 projek jalan raya sambungan daripada projek tahun lalu dan RM56.8 juta untuk 36 projek baru tahun ini.
Sarawak pula memperoleh peruntukan RM146 juta untuk melaksanakan 14 projek sambungan dan RM352.3 juta untuk 62 projek baru jalan luar bandar.
Projek NKRA bekalan elektrik luar bandar pula menyaksikan Sabah akan melaksanakan 353 projek sambungan dengan kos sekitar RM332 juta dan sembilan projek baru yang menelan belanja RM81 juta manakala Sarawak menyiapkan 281 projek sambungan yang berharga RM236 juta dan melaksanakan 10 projek baru dengan kos RM56 juta.
Sabah dan Sarawak masing-masing mendapat peruntukan sebanyak RM183 juta dan RM211 juta bagi melaksanakan projek bekalan air luar bandar termasuk projek sambungan.
Bagi Program Bantuan Rumah (PBR), tahun ini sahaja Sabah diperuntukkan RM114 juta bagi membina 2,853 unit rumah baru dan RM25 juta untuk membaik pulih 2,135 unit rumah. Pihak kerajaan negeri juga tidak berpeluk tubuh dan mengharapkan Kerajaan Persekutuan melaksanakan program tranformasi luar bandar.
Beberapa inisiatif baru seperti Koridor Pembangunan Sabah (SDC), projek agropolitan dan program Mesej Sejahtera diperkenalkan bagi meningkatkan sosio ekonomi penduduk luar bandar.
Seperti kata Masidi, masalah luar bandar di Sabah sangat unik dan tidak mampu diselesaikan oleh pemimpin tempatan bersendirian tetapi memerlukan kerjasama semua pihak khususnya Kerajaan Pusat.
Bagi rakyat di Sabah pula, apa yang boleh dilakukan mereka adalah terus memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada kerana jika tidak, semua program pembangunan akan tergendala, terbantut dan kembali di garisan permulaan.
Penulis ialah Ketua Biro Utusan Malaysia Sabah


Hotmail: Free, trusted and rich email service. Get it now.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Click the Titles below for more details.