Super Junior ,Konsert Super Junior, Emosi
Konsert Super Junior penuh emosi
BERADA di perkarangan Stadium Putra Bukit Jalil beberapa jam pada Sabtu lalu sebelum konsert band pop paling popular di Asia, Super Junior berlangsung, suasana biru mengaburi mata.
Ini kerana kebanyakan peminat yang boleh dikatakan 99 peratus adalah perempuan memakai pakaian dan aksesori berwarna biru.
Apabila ditanya, mereka mengatakan warna biru adalah warna rasmi untuk band yang dianggotai 13 jejaka kacak, iaitu Leeteuk, Heechul, Han Geng, Yesung, Kang-in, Shindong, Sungmin, Eunhyuk, Donghae, Siwon, Ryeowook, Kibum, dan Kyuhyun.
Bukan sekadar pakaian, ada yang turut mengenakan rambut palsu, topi, selendang, serta membawa belon, bunga dan kek. Apa yang pasti semuanya berwarna biru.
Hebat sungguh sambutan yang diterima Super Junior daripada peminat fanatik mereka di Malaysia. Sepanjang berada di perkarangan stadium, banyak pula kelab peminat dari pelbagai negara yang murah hati memberi cenderahati kepada peminat yang sedang beratur di situ.
Ada yang memberi lampu picit, tisu, bendera, lirik lagu dan poster. Semuanya tertera tulisan Super Junior. Kata mereka, untuk digunakan ketika konsert berlangsung.
Memang benar, masuk sahaja ke dalam perut stadium, pemandangan sungguh indah apabila semua peminat menyalakan lampu berwarna biru.
Lucunya, meskipun konsert hanya bermula pada pukul 8 malam, seawal pukul 6 petang peminat sudah memenuhi stadium. Sepanjang waktu menunggu, setiap kali tertera perkataan Super Junior atau pun iklan dipasangkan di skrin besar, satu stadium akan menjerit.
Tepat pukul 8 malam, konsert dimulakan selepas persembahan pembukaan dilakukan oleh penyanyi Ikhwal dan Thomas & Jack. Ketika itu, seluruh isi perut stadium menjerit seakan tidak sabar menanti persembahan band pujaan mereka itu.
Persembahan berdurasi tiga jam itu, diisi dengan 35 buah lagu daripada Super Junior dan subkumpulan Super Junior seperti Super Junior K.R.Y yang mendendangkan lagu What If dan Ibyui Nun Sipni, manakala Super Junior M mendendangkan lagu berjudul Blue Tomorrow dan Super Girl.
|
Meskipun hanya 10 orang ahli yang hadir, tiada kekurangan yang dirasakan dalam konsert siri jelajah Asia mereka yang kedua di bawah nama Super Show2 itu.
Pada sidang akhbar Super Junior sebelum itu, mereka sangat teruja bertemu dengan peminat Malaysia.
"Ini kali pertama kami berada buat persembahan di Malaysia walaupun sudah beberapa kali datang ke sini. Kami akan pastikan peminat semua terhibur dengan persembahan kami, pelbagai kejutan disediakan buat mereka," ujar Leeteuk mewakili Super Junior.
Meskipun menyanyi dan bertutur dalam bahasa Korea, namun itu bukan penghalang buat peminat mereka di Malaysia untuk menikmati konsert tersebut pada tahap maksimum.
Sesekali terdengar Siwon bertutur dalam bahasa Inggeris dan menyatakan terima kasih dan sayangnya kepada semua peminat yang hadir.
Mereka juga cuba untuk bertutur dalam bahasa Malaysia seperti: "Apa khabar dan saya sayang Malaysia." Ucapan ringkas itu cukup untuk meruntunkan hati peminat dan disambut dengan jeritan hangat sambil berkata: "Khabar baik."
Pujian harus diberikan kepada produksi konsert Super Junior kerana tiada langsung gangguan berlaku baik dari sistem bunyi hinggalah pada skrin besar.
Rambut palsu
Pentas yang besar merangkumi keseluruhan stadium memberi peluang peminat yang berada di mana-mana penjuru stadium untuk menatap wajah bintang kesayangan mereka dengan lebih dekat.
Selain itu, pentas digunakan sebaik mungkin. Ada kalanya, mereka akan muncul dari bawah pentas dan berada di atas tiang yang tinggi.
|
Bukan itu sahaja, peminat juga teruja dengan persembahan di atas skrin besar yang memaparkan sedikit sketsa sebagai pengenalan kepada lagu seterusnya.
Sebelum mereka menyanyikan lagu Shining Star, terpapar di skrin besar setiap ahli mengucapkan terima kasih kepada peminat mereka yang digelar ELF kerana menyokong mereka sejak awal penubuhan Super Junior pada tahun 2005 sehingga ke hari ini.
Kemudian, apabila muzik permulaan lagu hits mereka Sorry Sorry kedengaran, peminat terus mengila sambil menyanyi bersama.
Tidak tamat di situ, lima orang ahli Super Junior menggenakan rambut palsu wanita sambil menyanyikan lagu Chu dendangan asal band pop wanita bernama F(X).
Kemunculan anggota Super Junior yang menggenakan rambut palsu disambut dengan hilai tawa. Selepas itu, untuk lagu Pa Za Ma Party dan Carnival setiap ahli menggenakan topi bertemakan haiwan yang sungguh comel di atas kepala masing-masing.
Ketika mendendangkan lagu, Wonder Boy, setiap ahli Super Junior memegang pistol air sambil memancutkan air ke arah peminat.
Sebelum mendendangkan lagu terakhir mereka, Marry U, pentas konsert dilimpahi cenderamata percuma yang dilemparkan peminat. Tidak hanya pelbagai jenis patung, bantal, bunga, bendera, baju, malah mereka turut melempar pelampung berwarna biru.
Pastinya, setiap peminat pulang dengan senyuman meleret di bibir dan meninggalkan memori manis buat mereka. Sebelum menutup tirai mereka sempat berkata: "Terima kasih kerana datang dan nantikan kemunculan album baru kami."
Konsert yang dianjurkan oleh Redstar Presents dan diuruskan oleh Marctensia itu berjaya mengumpulkan 15,000 orang peminat Super Junior dengan tiket habis dijual sepenuhnya.
Hotmail: Powerful Free email with security by Microsoft. Get it now.
No comments:
Post a Comment