Gunung Bubu
Menjejak semula Puncak Bubu
|
HARI masih gelap ketika saya bersama-sama 27 pendaki dari pelajar Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) bersedia untuk bergerak. Tugas saya bersama seorang lagi rakan adalah sebagai pemandu kumpulan untuk ke puncak Gunung Bubu yang terletak di daerah Kuala Kangsar, Perak.
Kami berkumpul di hadapan Kompleks Biro Tatanegara, Ulu Kenas setelah menempuh perjalanan kira-kira 300 kilometer dari kampus MSU yang berpusat di Shah Alam, Selangor.
Kami mengatur langkah kira-kira pukul 5 pagi melewati laluan yang agak lebar. Jalan laterit ini sering digunakan oleh pemandu kenderaan pacuan empat roda. Permukaannya agak lecak serta licin dan alam yang masih gelap dihiasi melodi jeram yang mengalir deras.
Selang 30 minit kemudian, kami melepasi sebuah bangunan mini hidro milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebaik sahaja menyeberangi sebuah jambatan kayu.
Pukul 6 pagi, kami menyimpang ke arah denai hutan sempit yang disinari lampu suluh. Lantai hutan yang lembap dan licin itu dipenuhi pacat yang sering dahagakan darah hangat mamalia. Laluan tersebut turut direntangi anak sungai, semak-samun dan dahan pokok kayu tumbang.
Hari mula cerah tatkala langkah kami terhenti di sebatang jeram yang mengalir jernih lagi dingin. Kami telah pun berjalan kaki kira-kira dua jam setengah dari tempat permulaan di Hutan Lipur Ulu Kenas. Kami lantas meletakkan beg galas dan mengeluarkan makanan serta peralatan memasak untuk menyediakan sarapan pagi. Di samping itu, ada juga rakan-rakan yang sibuk membuang pacat yang melekat di kaki. Darah merah mengalir tanpa henti di beberapa batang betis.
Kira-kira sejam kemudian, kami menempuhi laluan berliku di seberang jeram. Melodi jeram yang mengalir deras itu adakalanya bersulam bunyi siamang yang bergayutan dari dahan pepohon kayu yang menjulang tinggi. Lolongan primat ini sering kedengaran tetapi haiwan ini sukar dilihat.
Laluan itu akhirnya membawa kami ke kawasan jeram cetek dengan airnya yang mengalir jernih. Salah satu sungai itu turut membentuk sebuah air terjun kecil dengan sebuah kolam bersaiz sederhana di bawahnya. Tanpa berlengah kami memasang khemah untuk bermalam. Kami mengambil masa hampir tiga jam untuk tiba di sini dari hentian terakhir di tebing jeram.
Jam menunjukkan ke pukul 2.30 petang ketika kami menyambung perjalanan untuk menjejaki puncak selepas menikmati makan tengahari. Trek begitu mencanak sebaik sahaja kami meninggalkan tapak perkhemahan Sungai Gading.
Kami berjalan dengan nada perlahan dengan peluh membasahi badan. Tiada lagi gurau senda dan gelak ketawa dan tiada lagi nyanyian yang sering kedengaran sebelum ini. Bayu bertiup lembut memberikan sedikit kesegaran di alam serba menghijau ini.
Perjalanan melalui trek curam itu berlanjutan selama sejam. Saya diungkit kehairanan kerana trek tersebut membawa kami ke tebing bukit yang curam. Rupa-rupanya saya tiba di satu mercu tanda penting di laluan yang bakal membawa kami ke puncak iaitu punca air terakhir.
Lima tahun lepas, kawasan tersebut redup dengan naungan dengan air yang mengalir perlahan.
Kini segalanya berubah. Berdasarkan keadaan muka buminya, kawasan tersebut pernah mengalami hakisan teruk.
Perjalanan lebih perit dengan dahan pokok serta batu-batu licin yang merentangi haluan. Kami terpaksa memanjat, meniarap serta merangkak untuk melepasi halangan yang sering memonopoli tatkala tenaga semakin kurang dijana badan.
Segala keperitan mengharungi laluan terbalas jua apabila kami selamat tiba di puncak Gunung Bubu setinggi 1,657 meter kira-kira sejam dari punca air terakhir. Masing-masing menarik nafas lega dan saling salam-bersalaman sambil mengucapkan tahniah. Saya sendiri berasa bersyukur dan gembira kerana berjaya membawa mereka semua ke puncak.
Masa yang pendek di puncak itu kami pergunakan untuk merakamkan gambar. Tidak banyak imej dari puncak yang dapat dirakamkan kerana sudut pandangan yang agak terbatas dengan pepohon kayu serta tumbuhan yang memagar rapat persekitaran. Di samping itu, penanda puncak logamnya masih tegak berdiri. Keadaannya masih begitu walaupun telah lima tahun alam penuh keheningan ini saya tinggalkan.
Pada pukul 5.30 petang, kami mula meninggalkan puncak. Langit kini gelap dengan kilat sabung-menyabung. Angin bertiup kencang sehingga menimbulkan kebimbangan pada diri saya. Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana tiada insiden buruk berlaku.
Pagi hari kedua yang dingin selepas menunaikan solat Subuh, kami mengemaskan segala peralatan manakala semua sampah-sarap dibungkus untuk dibawa keluar. Pada kira-kira pukul 12.00 tengahari, kami beransur-ansur meninggalkan tapak perkhemahan Sungai Gading.
Kami tempuhi semula laluan yang dilalui semalam seawal pukul 5 pagi lagi tatkala kegelapan masih lagi membelenggu alam. Denai inilah juga yang telah membawa kami ke puncak Gunung Bubu yang menjadi mercu tanda Hutan Lipur Ulu Kenas. Perjalanan selama kira-kira dua jam dari perhentian terakhir itu akhirnya membawa kami ke tempat bermula semalam.
Hotmail: Powerful Free email with security by Microsoft. Get it now.
No comments:
Post a Comment