pengacara astro awani marlina manaf

pengacara astro awani marlina manaf


Image


DI SAAT kebanyakan anak remaja masih dibuai mimpi mengejar cita-cita, berbeza dengan pengacara rancangan Perspektif Kita dan penyampai berita Global Awani, Marlinawatie Che Abdul Manaf, 27, (Marlina) kerana sudah tahu apa yang dimahukan dalam hidup.

Impian menjadi penyampai berita dan pengacara sudah disimpan sejak berusia 15 tahun. Malah setiap kali guru atau rakan bertanya, Marlina dengan tegas menyatakan mahu menjadi wartawan penyiaran dan penyampai berita suatu hari nanti.

Waktu itu, setiap kali melihat wajah idolanya seperti Ras Adiba, Suhaimi Sulaiman dan Wan Zaleha bersiaran di televisyen, pasti Marlina tersenyum sendiri kerana membayangkan dirinya berada di tempat personaliti terbabit yang pernah mencipta populariti suatu ketika dulu.

Bagaimanapun, perjalanan dilalui Marlina dalam membina kerjaya sebagai penyampai berita dan pengacara tidak semudah dibayangkan. Ia penuh dugaan sehinggakan sampai satu tahap ibu kepada seorang anak ini hampir putus asa dan menganggap rezekinya tiada dalam bidang dicita-citakan.

Sebenarnya Marlina hampir mengecapi impiannya lebih awal sewaktu bertugas di stesen rangkaian berita ternama tanah air. Namun, kerana imej bertudungnya dan dasar syarikat, keinginannya terpaksa dilupakan.

Kata Marlina, waktu bertugas di stesen itu, dia sudah diberikan segala tugas bermula sebagai wartawan penyiaran sehingga kepada melakukan suara latar.

"Waktu itu ramai teman sekerja mencadangkan kepada majikan supaya membenarkan saya tampil di hadapan kamera untuk menyampaikan berita. Namun, mereka menolak dengan alasan belum bersedia untuk mengetengahkan penyampai wanita bertudung. Apatah lagi stesen berita itu baru beroperasi sepenuhnya," katanya.

Sesetengah pihak beranggapan angan-angan tidak mungkin menjadi kenyataan. Begitu juga dengan Marlina, tetapi Allah Maha Besar dalam merencanakan hidup hamba-Nya. Walaupun halangan datang, jika seseorang itu bekerja keras dan bertawakal, apa yang dicitakan pasti menjadi miliknya.

Dalam Marlina rancak berbual mengenai permulaan kerjayanya dalam bidang penyiaran, tiba-tiba suasana bertukar hiba. Marlina tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan kembali saat dia diberi peluang muncul di televisyen.

Cerita Marlina, ibunya menghubungi membisikkan betapa dia berbangga melihat anak perempuannya berjaya juga mencapai apa yang diidamkan dalam hidup selama ini.

"Selama lima tahun saya cuba mencapai apa yang saya peroleh sekarang. Sejak zaman menuntut di universiti lagi, saya terpaksa membahagikan masa antara kerja di restoran makanan segera dengan kuliah.

"Saya bukan berasal daripada keluarga berada sementara kakak dan abang masih menuntut serta memulakan hidup sendiri. Selepas habis pengajian, saya mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah, tetapi permohonan tidak diterima. Saya minta pandangan ibu dan dia mencadangkan saya bekerja saja terlebih dulu.

"Lama juga saya menanti tawaran untuk bekerja sebagai wartawan penyiaran, tetapi setiap permohonan dibuat sepi tiada jawapan. Sehingga saya berasakan jika dilantik menjadi pengurus di restoran makanan segera itu saya akan berpuas hati dan itulah kerjaya yang sesuai untuk saya.

"Setahun juga lamanya saya bertugas sepenuh masa di restoran makanan ringan itu sehinggalah suatu hari stesen berita terbabit memanggil saya untuk memulakan tugas.

"Kebetulan sewaktu menuntut, saya pernah membuat latihan amali di sana. Saya percaya ia juga berkat doa ibu yang mahu saya berjaya mencapai apa yang saya citakan," katanya.

Melihatkan perkembangan kerjaya agak statik selepas hampir tiga tahun bertugas di stesen berita itu, Marlina mencuba nasib dengan memohon untuk menjadi kakitangan di satu lagi stesen berita yang ditubuhkan Astro iaitu Awani.

"Saya bermula sebagai wartawan penyiaran berdasarkan pengalaman diperoleh. Melihatkan kemampuan yang ditunjukkan, majikan menawarkan saya mengikuti latihan untuk menjadi pengacara dan penyampai berita.

"Lebih membuatkan saya teruja apabila diletakkan di bawah pengawasan pengacara amat saya minati, Suhaimi Sulaiman. Mula-mula menemuinya saya berasa takut juga, tetapi dia ternyata seorang mentor yang sangat bagus dan tahu bagaimana hendak membentuk serta mengetengahkan bakat yang saya miliki.

"Latihan yang saya ikuti itu tidak saya beritahu ibu dan ahli keluarga lain sehinggalah pertama kali bersiaran mengendalikan Perspektif Kita. Itupun saya tidak menjelaskan apa-apa selain meminta mereka menonton Awani waktu itu.

"Selesai bersiaran ibu menghubungi saya mengucapkan tahniah dan adik-beradik lain turut mengucapkannya serta tidak menyangka apa yang saya mimpikan dulu rupa-rupanya boleh menjadi kenyataan. Waktu itu baru saya sedar, benar kata orang kalau kita berusaha tidak ada yang mustahil untuk dicapai," katanya.

Selepas hampir dua tahun menyertai Awani, kini Marlina ditempatkan untuk mengendalikan segmen berita Atma Asia, satu-satunya buletin di televisyen tempatan yang melaporkan berita dan kejadian berlaku di sekitar Asia.

Pada waktu sama ada ketika dia dikehendaki bertugas sebagai penyampai di luar studio dan terbaru Marlina baru saja selesai membuat liputan lintas langsung Perhimpunan Agung Umno pada akhir Mac lalu.

Menyentuh mengenai penyampai bertudung, jelas Marlina dia yakin sekarang ini kebanyakan stesen televisyen semakin terbuka dan mereka yang tampil sopan sudah banyak diberikan peluang.

"Lihat saja rancangan berita mahupun bercorak informasi di beberapa stesen utama tempatan, ramai penyampai bertudung ditampilkan. Malah perkara itu turut disambut baik masyarakat. Saya turut berbangga apabila melihat perkembangan ini," katanya.

Walaupun nampak lembut, Marlina berminat dalam sukan seni mempertahankan diri karate-do dan menyertai Persatuan Seni Mempertahankan Diri Hayashi-Ha Kuala Lumpur. Dia yang kini menetap di Semenyih, Selangor turut memegang tali pinggang hitam.

"Ada cerita lucu di sebalik pembabitan saya dalam sukan karate-do ini. Saya pernah mewakili Kuala Lumpur selama tiga tahun ketika Sukan Malaysia (Sukma).

"Berasakan saya agak lasak, ibu pernah menyarankan menyertai Angkatan Tentera Malaysia (Atma) apabila permohonan saya untuk menjadi penyampai berita dan wartawan penyiaran tiada jawapan.

"Sekarang rupa-rupanya apabila bertugas ia ada kaitan dengan Atma, tetapi ia ringkasan rancangan berita yang saya kendalikan. Disebabkan sibuk dengan kerjaya, aktiviti seni mempertahankan diri sudah lama saya lupakan dan ramai antara rakan saya kini sudah mewakili negara dalam sukan itu," katanya.


Nama penuh: Marlinawatie Che Abdul Manaf

Panggilan: Marlina Manaf

Tarikh lahir: 20 November 1982

Asal: Pasir Mas, Kelantan

Umur: 27 tahun

Hobi: Memasak

Status: Berkahwin dan ibu kepada cahaya mata berusia 3 tahun.

Kelulusan: Diploma Komunikasi Massa daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Kerjaya: Penyampai berita, pengacara dan wartawan penyiaran



Hotmail: Trusted email with powerful SPAM protection. Sign up now.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Click the Titles below for more details.