Sakina,Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar

KE mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Begitulah hakikat kehidupan Sharifah Nurul Sakinah (Sakina) Syed Abu Bakar, 21.
pix_middle
Bukan mewarisi bakat ayah dan ibu, gadis jelita ini mengikuti jejak dua kakaknya - Sharifah Norhaslinda (Lynn) dan Sharifah Shahirah (Shira) - dalam bidang seni dan glamour.

Mula menambat jutaan penonton Hotel Mania menerusi watak Sasha, pertemuan diatur dengan gadis tinggi lampai ini untuk berkongsi sedikit pengalaman berhubung perjalanan seninya yang baru berputik.

"Dulu saya ingat mahu habiskan belajar kemudian baru jadi pelakon. Cita-cita dulu mahu jadi artis yang berilmu konon-kononnya. Tapi memandangkan peluang datang dengan pantas, akhirnya takdir membawa saya terjebak lebih awal.

"Sejak dari dulu lagi, ibu memang memberi galakan kepada saya untuk menjadi pelakon sebabnya dia nampak kecenderungan saya dalam bidang ini.
"Saya sendiri tak nafikan, minat berlakon mula menular dalam diri sejak kecil lagi. Tambahan pula, sentiasa diusung ke sana ke mari oleh kakak saya ke lokasi penggambaran, minat itu semakin menebal," katanya.

Memulakan karier glamour sebagai model iklan komersial, Sakina pernah muncul dalam beberapa iklan tempatan iaitu Tropica Twister, Tropicana Mall, Gardenia, Celcom dan Maxis.

Kemudian, dia mengorak sebagai pelakon video klip dan muncul dalam video muzik Kau dan Aku yang dipopularkan Akim dan Mila.

"Menerusi klip video itu saya memegang watak kekasih kepada Akim. Di situlah saya bertemu dengan AC, seorang petugas di KRU Berhad.

"Tidak lama kemudian, AC meminta saya datang ke sesi uji bakat Hotel Mania. Memandangkan saya pun tidak sibuk, saya beranikan diri untuk mencuba.

"Tidak sangka pula KRU memberi kepercayaan untuk membawakan satu watak yang saya kira agak penting dalam drama itu," katanya.

Meskipun gementar pada awalnya untuk menerima tawaran itu namun, keinginan yang menebal untuk menjadi pelakon mengikis sifat malunya.

"Dapat saja skrip saya terus terbayangkan kak Shira. Kalau kak Lynn wataknya selalu lebih serius manakala kak Shira pula lebih kepada komedi.

"Kak Shira kalau di luar memang begitulah. Mengenai watak saya sebagai Sasha dalam Hotel Mania, dia seorang yang gedik, bila bercakap guna 'high picth' dan ibaratkan semua benda dialah yang tahu.

"Cabaran melakonkan watak itu adalah bagaimana cara untuk saya membuatkan peminat tidak meluat kepadanya walaupun sifatnya gedik.

"Terus-terang Sasha bertentangan dengan karektor sebenar saya yang ada masanya banyak bercakap dan ada kalanya sangat berdiam. Sasha tidak reti duduk diam dan saya sendiri malu menonton diri sendiri kerana Sasha terlalu 'over'," katanya.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman pertama melangkahkan kaki ke set penggambaran Hotel Mania, Sakina berkata, dia tidak menghadapi sebarang masalah. Bahkan setiap hari sangat gembira untuk bersama barisan pelakon lain.

"Tidak ada masalah di lokasi kerana hari pertama di lokasi saya sudah buat bising, buat lawak dan kacau pelakon-pelakon yang ada. Sampai pernah ditegur oleh seorang pelakon yang menyifatkan saya tidak reti duduk diam.

"Diminta menari juga tiada masalah kerana saya memang suka menari dan selalu masuk persembahan kebudayaan di sekolah.

"Apapun, saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pelakon terutamanya Marsha, Dafi dan Anding kerana tidak lokek memberikan tunjuk ajar. Begitu juga pengarah drama bersiri ini, Abang Nizam," katanya.

Ujar Sakina lagi, untuk drama pertama boleh dikatakan dia agak berpuas hati dengan lakonannya. Pun begitu, Sakina tidak dinafikan masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki.

Bagaimanapun, dia gembira apabila kebanyakan penonton memberi respon cukup positif terhadap lakonannya.

Seketika saja mendampingi Sakina, dapatlah disimpulkan gadis ini merangkumi kedua-dua karektor kedua-dua kakaknya itu.

Dari segi paras rupa, Sakina lebih mirip kepada Lynn tetapi memerhati bahasa tubuhnya dan caranya bertutur berat kepada Shira.

"Secara peribadi saya melihat diri saya lebih banyak persamaan dengan kak Shira tetapi saya juga ada sedikit sifat-sifat kak Lynn kerana ada masanya saya suka berdiam dan serius. Kalau kak Shira tu, memang susah nak lihat dia berhenti bercakap.

"Pun begitu, saya mahu dikenali kerana bakat sendiri bukan kerana menumpang populariti kakak. Percaya atau tidak, selepas beberapa hari menjalani penggambaran Hotel Mania, barulah saya maklumkan kepada kakak mengenai pembabitan dalam drama ini.

"Semuanya kerana tidak mahu keputusan saya dipengaruhi sesiapa walaupun saya tahu mereka sangat mendukung keinginan saya. Kalau boleh dalam soal kerja saya tidak mahu dikaitkan dengan mereka tapi apakan daya mereka adalah kakak saya, lambat laun orang pasti tahu," katanya.

PROFIL
NAMA SEBENAR: Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar
NAMA KOMERSIAL: Sakina
TARIKH LAHIR: 28 Mei 1989
BINTANG: Gemini
ASAL: Kuala Lumpur
IDOLA: Hasnul Rahmat
IKLAN KOMERSIAL: Tropica Twister, Tropicana Mall, Gardenia, Celcom dan Maxis
LAKONAN: Siri Hotel Mania

 


Hotmail: Trusted email with Microsoft's powerful SPAM protection. Sign up now.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin
There was an error in this gadget

Click the Titles below for more details.