Remy, Rozita tolak gosip

Remy, Rozita tolak gosip
 

sebelum  -  selepas
<strong></strong> <strong></strong>

GANDINGAN nama dua R - Rozita Che Wan, 37, dan Remy Ishak, 27, ini mempunyai aura yang sangat kuat dan tersendiri.

Rozita, sekalipun bukan lagi dalam usia 20-an dan agak berusia, namun dia masih 'bergetah'. Status ibu tunggal menjadikan dia kegilaan ramai lelaki, selain buruan penerbit drama dan filem.
Remy pula, biarpun usia lakonan baru setahun jagung, drama Nur Kasih mampu mengubah nasibnya. Daripada seorang pemuda kampung, kini dia dilabel lelaki Melayu terakhir dalam industri filem. Baru putus cinta dan kini solo, menjadikan nama Remy terus hangat diperkatakan dan ramai yang ingin tahu siapa pengganti kekasihnya. Rozita dan Remy pertama kali digandingkan dalam fotografi bersama B*Pop apabila mereka belum pernah muncul berdua di mana-mana media cetak sebelum ini. Pun begitu, mereka pernah digandingkan menerusi drama siaran RTM, Cinta 3 Teruna suatu ketika dulu, namun selepas lebih dua tahun tidak bertentang mata, akhirnya sesi fotografi sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009, menemukan pasangan ini!

Rozita mengakui, dia jarang menerima pelawaan apabila diminta bergandingan dengan mana-mana artis lelaki kerana lebih gemar bergambar solo atau sekurang-kurangnya berpasangan dengan adiknya, Ayu Raudhah. Tapi, sebaik saja dimaklumkan menerusi SMS, Rozita akan digandingkan dengan finalis Pelakon TV Lelaki Popular, Remy, dia terus membalas: "I like..."

Lebih menarik, pada hari fotografi berlangsung, kebetulan genap usia Rozita berganjak 37 tahun tanggal 9 Mac lalu.

Itu cerita Rozita. Bagi Remy pula, dia tidak pernah bertanya siapa yang bakal digandingkan dengannya, namun sebaik saja dimaklumkan akan berpasangan dengan Rozita, tiga hari sebelum fotografi, aktor berkulit sawo matang ini mengakui, dia tak lena tidur malam! Ternyata, Remy dan Rozita tidak kekok apabila diminta memberikan pose romantik di depan kamera. Yang jelas, kedua-duanya teruja apabila bertemu satu sama lain!
Kesempatan itu digunakan Remy untuk meraikan hari jadi Rozita sambil dikelilingi petugas Habib. Rozita yang juga Top 5 ABPBH 2009 kategori Pelakon TV Wanita Popular mengambil peluang berbelanja sakan di Habib apabila dua bentuk cincin berlian koleksi terbaru Habib menjadi pilihannya.

"Setiap kali hari jadi, saya memang gemar berbelanja, beli hadiah untuk diri sendiri. Namun, ulang tahun kali ini saya sangat teruja apabila Habib dan Remy buat kejutan untuk saya," katanya.

Hadiah hari jadi daripada orang istimewa?

"Setakat dapat bunga pemberian peminat tu memanglah banyak, tapi kalau kategori hadiah istimewa pemberian seseorang, memang tak pernah ada. Kekasih pun tak jumpa-jumpa lagi sampai hari ini," jelasnya lagi.

Apa pendapat Rozita mengenai Remy?

"Saya suka dengan personaliti Remy. Terus-terang, saya memang susah nak bergambar dengan lelaki. Saya very reserved. Tapi, untuk mempromosikan ABPBH 2009, saya rela langgar 'pantang'," katanya dalam nada gurauan.

Akui Rozita, gosip cintanya dengan seorang pemain bola sepak terkenal, sudah lama berkubur apabila menyifatkan hubungan mereka sekadar teman rapat semata-mata.

Namun, ada dakwaan, Rozita sering 'bergayut' di telefon berjam-jam dengan bintang sukan berkenaan, justeru masih ingin menafikan tidak wujud perasaan cinta?

"Saya akui perkara itu, saya gemar bercakap lama di telefon, kami susah nak jumpa, tapi itu tidak bermakna kami bercinta. Keluar dating berdua, tak pernah, tengok wayang jauh sekali, sekadar keluar makan beramai-ramai itu, pernahlah," kata Rozita berterus-terang.

'Saya tak mahu ada kekasih'

Bagaimana pula dengan gosip terbaru yang mendakwa Rozita menjalin hubungan dengan seorang kerabat dari sebuah negeri berpengaruh? Khabarnya Rozita dan kerabat berkenaan pernah dilihat hadir bersama dalam satu majlis keramaian. Apa komen anda?

"Ada orang tengah yang memperkenalkan kami. Seperti biasa, saya tak boleh memberikan sebarang komitmen buat masa ini. Kami hanya berkawan, sekadar bertanya khabar menerusi telefon, tapi nak jumpa memang susah. Sebenarnya saya tak mahu ada kekasih. Saya ingin bebas, apa yang kita buat, tak perlu report duty. Lagipun belum pernah ada lelaki yang benar-benar buat saya gembira kecuali bekas suami. Justeru, lebih baik saya hidup sendiri," tegas Rozita.

Terdengar desas-desus Rozita ingin memberikan titik noktah pada kerjaya lakonannya penghujung tahun ini dan bermula tahun depan dia akan mengusahakan perniagaan. Keputusan itu dibuat apabila dia dilaporkan tidak sanggup lagi berdepan dengan tohmahan dan gosip liar terhadapnya.

"Sekuat-kuat kita berdepan dengan pelbagai dugaan, tapi apabila sudah keterlaluan, saya tak sanggup lagi. Lagipun usia saya semakin meningkat, sudah sampai masanya saya mengundur diri. Justeru, sekiranya tiada aral, bermula tahun depan saya akan memulakan perniagaan bulu mata berjenama sendiri dan perniagaan lain yang dapat menampung masa depan. Saya akan selesaikan dulu kerja yang tertanggung," kata Rozita yang mengakui jadual penggambarannya padat sehingga 20 Jun depan.

Rozita yang juga pelanggan tetap Habib, tidak mempunyai masalah memperagakan apa saja barang kemas yang diingininya pada hari itu termasuk tiara Laut Selatan. Jumlah keseluruhan koleksi Habib yang diperagakan Rozita mencecah hampir RM2 juta.

'Saya dan Tiz tak bercinta!'

Remy semakin panas kebelakangan ini apabila dia dikatakan menjalin hubungan cinta dengan aktres remaja, Tiz Zaqyah yang pernah bersamanya menjayakan Nur Kasih. Lebih menggemparkan apabila dia dituduh sebagai penyebab atau orang ketiga sehingga rumah tangga aktres terkenal, Maya Karin dan suaminya bergolak.

"Saya dan Tiz tak ada hubungan istimewa, hanya kenalan sebagai rakan artis apabila kami pernah berlakon di bawah produksi sama ketika menjayakan Nur Kasih. Begitu juga dengan Maya, selepas bergandingan menerusi teater Natrah dan filem Cun, kebetulan rumah tangganya bergolak. Justeru, tidak semena-mena saya terkena tempiasnya. Maka ada pihak yang menuduh saya sebagai orang ketiga.

"Saya sering mencari keserasian apabila bekerja, justeru saya akan selalu dilihat dengan aktres yang digandingkan. Tapi, keakraban yang wujud antara kami tidak lebih atas landasan kerja, jauh sekali mengambil kesempatan. Bagi saya, apa saja tuduhan yang dilemparkan, adalah ujian mental yang harus saya hadapi. Saya harap janganlah terus berprasangka buruk terhadap saya," kata Remy tenang.

Namun, Remy mengakui pernah keluar berdua dengan Tiz, mereka berborak dua, tiga jam, tapi tidak bermaksud kedua-duanya sudah melewati fasa percintaan.

Remy juga dikatakan mempunyai 'sindrom' sukar menjawab panggilan telefon dan membalas kiriman SMS. Tabiat lamanya itu sampai sekarang dikatakan masih belum berubah sehingga mendatangkan kemarahan banyak pihak termasuk produser dan pihak wartawan.

"Saya tidak menafikan perkara itu, tapi apabila bekerja saya tak suka diganggu sehinggakan ibu sendiri pernah merungut apabila dia gagal menghubungi saya. Saya akui, dalam tuntutan kerja seperti saya, komunikasi amat penting. Tapi jadual kerja saya back to back, rezeki tak pernah putus, justeru saya harus memberikan tumpuan.

"Kini, saya sudah menemui jalan penyelesaiannya apabila kerjaya seni diurus Satu Entertainment, syarikat yang sama menguruskan kerjaya Maya. Insya-Allah selepas ini isu lama tak akan berulang lagi. Kepada pihak industri termasuk produser dan wakil media yang sukar menghubungi saya sebelum ini, saya mohon maaf. Saya tak pernah terlintas nak bangga diri apabila dilabel sudah popular," katanya lagi.

Apabila melihat Rozita bergaya sakan dengan koleksi Seribu Bintang, Remy juga tidak mahu ketinggalan apabila dia mengenakan brooch berlian pasthy daripada koleksi Aura Habib, selain cincin nilam biru dan cincin garnet daripada koleksi lelaki Habib apabila jumlah keseluruhan yang diperagakan mencecah hampir RM100,000.

'Saya bukan artis terlampau'

BAGI Remy Ishak, sikapnya yang lebih suka berdiam diri apabila dikaitkan dengan kisah kontroversi dalam dunia hiburan, itu adalah yang terbaik buatnya daripada terus menjawab dan melayan laporan tidak benar. Terpulang apa kesimpulan yang mahu dibuat, namun baginya semua telahan negatif itu sebagai satu hal yang tidak memberatkan kotak fikirannya.

"Jika yang diperkatakan itu tidak benar, rasanya tidak perlu saya bersuara dan memberi penjelasan. Semua itu cuma akan membuat orang akan terus tertanya. Lagi bercakap, lagi besar akan jadi sesuatu isu itu. Saya hanya mahu hidup seperti manusia biasa lain yang ada ruang privasi sendiri. Cuma itu... terlalu banyak diperkatakan mengenai saya, pernah saya tertanya sendiri apa lagi selepas ini? Saya tidak mampu memberi jawapan kepada setiap persoalan orang, jadi biarlah apa pun yang nak diperkatakan. Mungkin sudah tertulis saya sering menjadi mangsa keadaan," bicara Remy pada pertemuan lewat malam usai sesi tayangan perdana Evolusi KL Drift 2, baru-baru ini.

Jelas Remy, tuduhan mendakwa dia sebagai jejaka playboy selain dikaitkan menjadi punca kepada pergolakan kepada rumah tangga Maya Karin terlalu berat untuk diterima. Bantah anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka ini, atas alasan apa dia dikaitkan semua perkara itu? Sedangkan dia cuma ingin mengekalkan hubungan baik dengan aktres yang didampingi menerusi filem Anak Halal, Cun dan teater muzikal, Natrah.

"Apa motif mereka berkata-kata begitu? Tetapi itulah mulut orang. Semakin berjaya seseorang itu, pasti ada yang cuba menjatuhkan. Mungkin kerana ingin melihat saya jatuh, maka timbul semua kontroversi itu. Apakah kerana saya masih sendiri, semua yang tidak baik dikaitkan dengan saya. Bingung juga saya kerana apabila mempunyai kekasih, saya dikatakan sebagai kaki pukul pula," katanya bingung.

Akui Remy, dek kontroversi itu telefon bimbitnya dibanjiri panggilan media namun terpaksa diketepikan. Bukan mahu mengelak atau menolak publisiti, namun Remy memilih untuk memberi sepenuh perhatian kepada karier lakonan yang menjadi periuk nasinya. Kata Remy, kebelakangan ini jadual kerjanya terlalu padat membuatkan dirinya dalam situasi tertekan memenuhi semua permintaan media.

Terus diburu kesibukan di lokasi drama bersiri 26 episod, Arjuna untuk slot Aksi siaran TV3, Remy berkata, dia masih memerlukan platform untuk menggilap kemampuannya sekali gus muncul sebagai antara barisan aktor terbaik negara.

"Saya tidak mahu tamak. Cukup memberi tumpuan kepada satu penggambaran dalam satu tempoh masa. Tubuh saya tidak mampu lagi menerima tekanan. Ditambah dengan jadual yang bercanggah dengan beberapa acara dan siri promosi, saya cuba membahagikan masa untuk tidak mengecewakan permintaan ramai," kata finalis Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 ini.

Nasihat Remy kepada penggemar yang bakal menyaksikan lakonannya dalam Evolusi KL Drift 2, jangan berharap sesuatu yang luar biasa pada persembahannya untuk filem yang diarahkan pengarah muda, Syamsul Yusof itu. Remy akur masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki malah dia sendiri tidak berpuas hati dengan apa diberikan untuk filem berkenaan.

Info Rozita

NAMA PENUH: Rozita Che Wan
ASAL: Alor Setar, Kedah
TARIKH LAHIR: 9 Mac 1973
KELUARGA: Anak kedua daripada tujuh beradik
DRAMA: Sesuci Cinta Sofia, Jelatang, Susuk 2, Diari Ramadan Raffique, Ayyad, Kiah Perkasam dan Cikgu Kemisah Kirby
FILEM: Sepi, Sifu & Tonga, Misteri Balan Balan The Movie, Adik Manja Returns dan 4 Madu
KOMERSIAL: Egyption Potion dan L'oreal
DUTA: Rorine dan Avon Jewelleries

Info Remy

NAMA PENUH: Mohammad Zalimei Ishak
ASAL: Masjid Tanah, Melaka
TARIKH LAHIR: 11 April 1982
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
DRAMA: Sindarela, Awan Dania, Obsesi, Jalan Pintas Ke Neraka, Iktikaf, Nur Kasih dan Arjuna
FILEM: Anak Halal, Duhai Si Pari-Pari, Hooperz, Cun, Evolusi KL Drift 2, Akuarium Cinta dan Nur Kasih The Movie
TEATER: Natrah
KOMERSIAL: Kopi Radix dan 5M - Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pelancongan Kuala Lumpur


Hotmail: Powerful Free email with security by Microsoft. Get it now.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin
There was an error in this gadget

Click the Titles below for more details.