Kemuncak karier Sandra Bullock,karier Sandra Bullock

 
Karier Sandra Bullock
 
 

Kemuncak karier Sandra Bullock



WAJAH girang Sandra Bullock bersama temannya, Forest Whitaker (kiri, berkaca mata).



SELAMA hampir dua dekad bergelar seorang aktres, Sandra Bullock lebih dikenali sebagai seorang bintang filem yang hanya mempertaruhkan popularitinya semata-mata.
Jika tidak, mustahil untuk hampir kesemua filem-filemnya mencecah kutipan pecah panggung sehingga menjadikannya sebagai salah seorang pelakon yang memiliki koleksi filem terlaris.
Kerana itu jugalah, Bullock digelar sebagai Ratu Filem Komedi Romantik oleh pengkritik dan wartawan hiburan di Hollywood kerana genre filem tersebut memang cukup bertepatan dengan dirinya.
Ditambah pula dengan karisma dan keperibadiannya yang memang sesuai membawakan watak-watak sedemikian, maka tidak hairanlah dia sering kali ditawarkan untuk membintangi filem daripada genre tersebut.
Mungkin ramai yang berfikiran skeptikal dan berpandangan sinis bahawa pelakon popular seperti Bullock tidak mampu membawakan watak yang lari daripada norma kehidupannya.
Namun, anak wayang berusia 45 tahun ini membuktikan bahawa aktres sepertinya yang sering kali dipandang rendah oleh segelintir pihak mampu menjulang Oscar.
Untuk itu, Bullock amat berterima kasih dan bersyukur kerana filem The Blind Side telah mengubah hidupnya secara total.
Sepanjang 12 bulan kebelakangan ini, nama Bullock sering bermain di bibir peminat mahupun pengkritik filem di Hollywood sebaik sahaja tibanya musim anugerah.
Tidak dinafikan lagi, The Blind Side telah membawa tuah yang berlipat ganda buat Bullock dan akhirnya berjaya membuka mata ramai pihak akan kredibilitinya sebagai seorang aktres.
Mungkin ramai yang tidak tahu Sandra hampir sahaja menolak tawaran berlakon filem berkenaan kerana dia berpendapat, watak Leigh Anne Tuohy (watak dalam filem berkenaan) begitu berat dan sukar sekali.
Sebaik skrip filem berkenaan diterima, Bullock secara peribadi tertarik dengan jalan ceritanya dan sudah terbayang di fikirannya kekuatan watak yang saya bakal bawakan itu.
Bagaimanapun, pada masa yang sama tercetus dilema buatnya kerana dia diperlukan membawakan watak seorang wanita yang masih hidup.
"Maka itu, saya menghabiskan seharian bersama Leigh Anne Tuohy dan mengkaji dirinya sehingga saya sendiri berasa letih.
"Apa yang mengagumkan saya, tenaga yang ada dalam dirinya itu serta personaliti wanita itu sendiri yang penuh dengan kasih sayang sehingga membawa saya menerima watak ini," cerita Bullock membuka ceritanya pada sidang akhbar selepas menerima Oscar pertamanya di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
Leigh Anne Tuohy yang turut hadir ke majlis berkenaan turut melonjak kegembiraan apabila nama Bullock diumumkan sebagai pemenang.
Bullock atau nama sebenarnya Sandra Annette Bullock memang merupakan calon pilihan untuk Oscar tahun ini biarpun berdepan dengan saingan yang cukup hebat khususnya daripada calon veteran, Meryl Streep yang dicalonkan buat kali ke-16.
Ternyata kemenangannya di Oscar telah mencipta satu momen terindah dalam diari seninya sebagai seorang aktres tersohor apatah lagi menewaskan Streep yang bukan calang-calang pelakon.
Streep yang juga seorang seniwati handalan menerima pencalonan Oscar ke-16 berdasarkan wataknya sebagai seorang chef terkemuka, Julia Child menerusi filem Julie & Julia.
Sebelum memenangi Oscar, Bullock membawa pulang dua anugerah berprestij iaitu Golden Globe dan Screen Actors Guild yang merupakan penentu kejayaan di pentas Oscar.
Tidak cukup dengan itu, Bullock juga mencipta sejarahnya tersendiri apabila menjadi aktres pertama yang memenangi Oscar menerusi filem yang hanya mencatat kutipan melebihi AS$250 juta di AS sahaja.
Sebelum ini, tiada aktres yang mencipta kejayaan sebegitu kerana filem-filem pemenang sebelum ini biasanya kurang mendapat sambutan atau kutipannya akan melonjak naik selepas kemenangan.
"Sebelum ini, berkali-kali saya minta kepada semua terutama pihak media agar hentikan segala ramalan yang mengatakan saya akan memenangi Oscar.
"Kerana saya sedar, bahawa saingan saya bukannya sembarangan dan untuk menempatkan diri bersama Streep, merupakan satu penghargaan tertinggi buat saya.
"Jadi kemenangan malam ini adakah saya benar-benar layak menerimanya? Saya sendiri pun tidak tahu," katanya sambil memandang dan memegang erat trofi Oscarnya.
Barangkali ramai yang tidak tahu, perjalanan karier seni Bullock bukanlah semudah dan seindah seperti mana yang dapat dilihat hari ini.
Gigih membina namanya dengan membintangi filem-filem seperti Demolition Man, The Vanishing dan Love Potion No.9 yang bukan sahaja tidak laris di pasaran tetapi turut mendapat kritikan pedas.
Namun, semuanya berubah apabila dia membintangi filem Speed bersama Keanu Reeves yang terus meletakkan namanya di persada kegemilangan.
Bermula detik itu, dia terus menjadi pilihan penerbit filem di Hollywood untuk membintangi filem-filem mereka kerana mereka tahu Bullock memiliki aura yang kuat untuk melariskan filem-filem mereka.
Bukan itu sahaja, Bullock juga merupakan salah seorang pelakon Gred A di Hollywood yang menerima bayaran tertinggi untuk setiap filem lakonannya.
Memang bukan mudah untuk menjadi seorang yang ternama seperti Sandra Bullock. Apa sahaja yang dilakukan pastinya akan mendapat perhatian.
Sebagai seorang pelakon, Bullock juga seperti manusia lain yang rapuh hatinya apabila berita kurang enak dicanang memperkatakan tentang dirinya.
Dalam hal ini, Bullock sering kali dikritik kerana hanya mementingkan soal bayaran dan bukannya nilai-nilai artistik dalam setiap filem lakonannya.
"Saya tahu ramai yang memperkatakan soal ini apabila saya membintangi filem-filem terbaru dan saya amat bersyukur kerana dilimpahi dengan rezeki dan wang yang banyak.
"Tetapi, gaji yang selalu saya terima akan hadir bersama filem yang kurang bagus.
"Jadi, beberapa tahun kebelakangan ini, saya bermula dari bawah semula dengan mengubah skala gaji saya.
"Saya kini lebih selesa untuk menerima gaji saya selepas berlakon filem tersebut dan bonusnya, jika filem itu berjaya. Tetapi penerbit tidak perlu membayar wang pendahuluan saya kepada saya lagi," ujar Bullock dengan penuh jujur.
Sebelum The Blind Side lagi, Bullock sebenarnya sudah mempamerkan lakonan hebatnya dalam filem-filem bercorak drama seperti Infamous dan Crash.
Pada uia 45 tahun, wanita kelahiran Virginia, Washington DC ini sentiasa berfikiran positif dan mahu melakukan perkara yang lebih bagus serta besar setiap hari.
Tidak menafikan dia merupakan seorang yang begitu mementingkan perancangan dan teliti dalam setiap tindak-tanduknya, namun semuanya berubah pada satu hari dia bangun dari tidur.
"Bermula saat itu, setiap kali saya bangun dan saya mampu bernafas, maka saya tahu akan gembira dan ia akan menjadi satu hari yang baik buat saya.
"Bukan itu sahaja, di tepi katil saya juga saya letakkan nota yang berbunyi 'Expect as good as you give' (Terimalah sebaiknya sebagaimana anda memberinya) sebagai motivasi buat saya meneruskan kehidupan," cerita Bullock yang dilahirkan pada 26 Julai 1964 itu lagi.
Sewaktu naik ke pentas dan menerima Oscar daripada Sean Penn, tiba-tiba kegembiraan Bullock bertukar sedih apabila mengenangkan mendiang ibunya, Helga Bullock yang meninggal dunia pada tahun 2000 kerana kanser.
Helga merupakan pendorong utama Bullock meneruskan kariernya sebagai seorang aktres.
Emosi Bullock tidak dapat dikawal lagi lebih-lebih lagi apabila memikirkan ibu bapa hari ini sukar sekali menerima penghargaan dan terima kasih daripada anak-anak mereka.
"Dalam hal ini, saya tidak pernah gagal berbuat demikian. Jadi, momen ini saya ambil untuk mengucapkan terima kasih atas segala-galanya buat Helga B.," ucapnya dalam nada tersekat-sekat.
Bullock turut mencipta satu lagi rekod peribadi dan juga dalam industri perfileman Hollywood apabila memenangi anugerah Pelakon Wanita Terburuk pada Anugerah Golden Raspberry Ke-30 atau singkatannya, Razzies dan Oscar dalam tempoh 24 jam.
Dia menerima anugerah tersebut berdasarkan lakonannya dalam filem All About Steve yang turut menobatkan Bullock dan Bradley Cooper sebagai Pasangan Filem Terburuk.
"Saya berasa sungguh seronok menghadiri dan menerima anugerah saya. Saya sifatkan ia sebagai sesuatu yang sungguh seimbang dengan kemenangan saya di Razzies dan Oscar.
"Sudah pasti saya akan mempamerkan kedua-dua anugerah ini di dalam almari perhiasan saya. Cuma, kedudukan anugerah Razzies itu bawah sedikit daripada Oscar," katanya sambil berseloroh.


Hotmail: Trusted email with powerful SPAM protection. Sign up now.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Click the Titles below for more details.