Puff The Magic Dragon, Shining Star,Super Junior K.R.Y, Super Junior -M, Super Junior -T, Super Junior -Happy , super junior,boy band

Puff The Magic Dragon, Shining Star,Super Junior K.R.Y, Super Junior -M, Super Junior -T,  Super Junior -Happy , super junior,boy band
 
 
TERPUKAU! Itulah kesimpulan yang menterjemahkan kehebatan persembahan 'boy band' terbesar di dunia yang dianggotai oleh 13 orang jejaka kacak di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berdasarkan persembahan ekstravaganza Super Junior itu baru-baru ini ia sebetulnya mengiakan betapa fenomena yang dicetus oleh kumpulan dari Korea bukan kecil.
Kehadiran mereka ke ibu negara baru-baru ini memperlihatkan bahawa mereka mempunyai pengaruh yang sangat besar di kalangan remaja.
Selama tiga jam, Super Junior menjayakan konsert Super Junior The 2nd Asia Tour Super Show 2 Live In Malaysia 2010 membawa penonton ralit dengan aura mereka.
Bahkan, harus diakui sebilangan besar yang datang menyaksikan konsert berkenaan memberikan lima bintang buat anak-anak muda itu.
Persembahan yang mantap disertai dengan nyanyian merdu, tarian yang mempesonakan dan rekaan pentas serta mainan visual yang hebat cukup membuatkan tenaga 15,000 orang penonton yang hadir tidak kering-kering dari awal sehingga habis konsert itu.
Walaupun mempersembahkan 34 buah lagu, namun penonton yang hadir tidak berasa bosan dan sentiasa terhibur melihat gelagat 10 daripada 13 ahli Super Junior yang hadir ke Malaysia itu.
Seawal pukul 4 petang, ribuan peminat Super Junior yang turut dikenali SJ atau Suju sudah mula membanjiri perkarangan stadium itu walaupun mereka hanya dibenarkan masuk ke dalam stadium pada pukul 6 petang.
Pelbagai ragam dapat dilihat daripada peminat Suju yang kebanyakannya terdiri daripada remaja perempuan.
Ramai yang berpakaian serba biru yang merupakan warna tema Suju, malah ada yang membawa pelbagai hadiah untuk diberikan kepada idola mereka itu.
Membuka tirai persembahan, Iqwal dan ThomsJack memberikan persembahan yang cukup bertenaga disertai dengan gerak tarian yang tangkas lalu mengundang jeritan penonton yang hadir.
Biarpun kelibat jejaka-jejaka segak itu belum kelihatan, namun stadium yang dipenuhi oleh 15,000 orang penonton itu gamat dengan sorakan peminat yang kebanyakannya terdiri daripada remaja perempuan.
Sebaik sahaja lampu stadium dimalapkan, jeritan penonton semakin kuat dengan laungan 'Suju' serta nama ahli kumpulan kegemaran mereka.
Apabila mereka membuat gimik dengan keluar di setiap penjuru yang berbeza, kelihatan reaksi penonton semakin tidak terkawal.
Hee Chul, Si Won, Kyu Hyun, Ye Sung, Ryn Wook, Sung Min, Eun Hyuk, Dong Hae, Shin Dong dan Lee Teuk memberikan persembahan yang tidak dapat dilupakan dengan kemerduan vokal serta tarian yang tangkas dan mengasyikkan.
Kelihatan penonton di stadium menghayunkan lampu berwarna biru yang merupakan warna rasmi mereka dari awal sampai akhir persembahan.
Mereka memulakan persembahan dengan lagu-lagu rancak iaitu Thirsty, U, It's You, She's Dangerous, Angela, Miracle, Disco Drive dan Dancing Out.
Persembahan diteruskan dengan lagu Baby Baby, My Beautiful, Give Up, lnsomnia, Forgive Me, What If, Ibyui Nun Sipni, Honey, So Na Ta At Temptation, Dun Dun, Twins, Our Love, Puff the Magic Dragon dan Sick of Love.
Mereka turut menyanyikan lagu Who Am I, Blur Tomorrow, Super Girl, Shining Star, Sorry Sorry, Chu, Rock n Go, Honey Jar, Pa Za Ma Party, Carnival, Wonder Boy dan Marry You.
Setiap persembahan diselang-seli dengan persembahan sub kumpulan iaitu Super Junior K.R.Y, Super Junior -M, Super Junior -T dan Super Junior -Happy serta turut diselitkan sketsa daripada mereka yang mencuit hati.
Mereka bukan sahaja boleh menyanyi dan menari dengan baik, malah ada di antara Suju yang boleh bermain alat muzik dengan merdu dan ditonjolkan ketika persembahan secara solo.
Turut membuat persembahan ialah ahli jemputan Suju, Henry Lau memberikan persembahan yang memukau dengan gesekan biolanya dalam lagu So Na Ta At Temptation.
Persembahan lagu Puff The Magic Dragon amat mencuit hati apabila jejaka-jejaka kacak ini turut membuat sketsa ala teater kanak-kanak lengkap dengan kostum haiwan yang comel.
Lebih mengujakan, satu stadium kelihatan seperti langit yang dipenuhi bintang apabila penonton yang hadir menyalakan lampu putih ketika Suju menyanyikan lagu mereka yang hits iaitu Shining Star.
Antara kejutan lain ialah apabila ahli Suju yang segak berpakaian menyerupai wanita dan mengajuk gaya wanita ketika mereka menyanyikan lagu Chu.
Semestinya lagu mereka yang paling hits ketika ini iaitu Sorry Sorry dinyanyikan, semua yang hadir menjerit dan turut menyanyi sekali bersama mereka.
Secara keseluruhan, konsert Super Junior The 2nd Asia Tour Super Show 2 Live In Malaysia 2010 adalah sebuah konsert yang hebat.
Pentas yang gah dan mainan visual serta percikan bunga api banyak membantu persembahan nyanyian dan tarian mereka yang memang sedia ada hebat.
Walaupun ada halangan bahasa memandangkan mereka bertutur dan bernyanyi dalam bahasa Korea, namun penonton tetap berasa terhibur dan terpesona dengan persembahan mereka.
Pujian diberikan kepada pihak penganjur iaitu Redstar Presents dan Marctensia kerana berjaya membawa kumpulan yang berbakat besar ini mengadakan konsert di sini sehingga kesemua tiketnya habis dijual.
Selepas Malaysia, Suju akan mengadakan konsert di Manila, Filipina dan beberapa buah negara Asia yang lain.


Hotmail: Powerful Free email with security by Microsoft. Get it now.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Click the Titles below for more details.