Pecah Rumah,Hidup mewah hasil pecah rumah

Pecah Rumah

Hidup mewah hasil pecah rumah


WAN Abdul Bari Wan Abdul Khalid (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas dari rumah sepasang kekasih yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah di Ibu pejabat Polis Daerah Brickfields, semalam.


KUALA LUMPUR 10 Mac - Sepasang kekasih dilihat hidup bahagia dan mewah apabila mampu mendiami sebuah kondominium di Taman Cheras Utama di sini sejak beberapa bulan lalu.
Malah, kediaman mewah yang disewa pasangan itu dipenuhi pelbagai jenis kelengkapan rumah.
Namakan apa jua barangan - televisyen 42 inci, komputer riba, set golf, skuasy, alat permainan helikopter kawalan jauh - semuanya ada.
Bayangkan, dalam rumah pasangan itu, mereka memiliki tiga unit komputer riba dan itu belum termasuk enam unit televisyen skrin rata dan 10 telefon bimbit.
Rahsia di sebalik kehidupan senang pasangan itu akhirnya terbongkar apabila mereka ditangkap kerana dipercayai melakukan pecah rumah di sekitar kawasan Lembah Klang sejak lima bulan lalu.
Kediaman mewah tersebut diserbu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Brickfields, kira-kira pukul 9.30 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, pemeriksaan menyeluruh ke atas kediaman terbabit cukup mengejutkan kerana polis menemui sebanyak 107 barangan dianggarkan bernilai RM200,000, kesemuanya dipercayai barangan curi.
Menurut beliau, berikutan penemuan itu, polis kemudian menahan suspek lelaki berusia 37 tahun dan teman wanitanya yang berumur 28 tahun untuk siasatan lanjut.
"Siasatan awal mendapati, barangan yang dicuri suspek itu sama ada dijual untuk wang tunai atau kegunaan sendiri.
"Kami percaya pasangan itu terlibat dalam sekurang-kurangnya 20 kes di sekitar Lembah Klang dan setakat ini, empat kes disahkan didalangi mereka, tiga di Cheras dan satu di Brickfields," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields hari ini.
Menurut Wan Abdul Bari, polis sebelum ini menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 29 tahun mendakwa kondominium yang dihuni di Jalan Kuchai Lama dipecah masuk dan banyak barangan dilarikan, malam kelmarin.
"Mangsa, seorang jurutera, keluar rumah pada pukul 12 tengah hari dan apabila pulang ke rumah pada pukul 7.20 malam, dia mendapati pintu masuk rumahnya dipecah masuk dan keadaan rumah berselerak.
"Susulan itu, berdasarkan maklumat orang ramai, polis berjaya mengesan suspek yang terlibat dan dalam tempoh kurang daripada 24 jam, kami dapat menyelesaikan kes ini," ujarnya.
Wan Abdul Bari memberitahu, suspek lelaki itu juga didapati positif dadah selain mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu kes curi dan dadah.
Katanya, kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah.


Hotmail: Powerful Free email with security by Microsoft. Get it now.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Click the Titles below for more details.