Seluruh England,Badminton England

 
 
 
Badminton England

Seluruh England


Lin Dan mahu cabar kedudukan Chong Wei.



SELURUH England sentiasa menjadi kejuaraan yang paling diidamkan oleh semua pemain terbaik dunia. Apatah lagi tahun ini kejohanan badminton tertua di dunia itu menyambut ulang tahun ke-100.
Berjaya ditabal sebagai pemenang edisi ke-100 kejohanan yang bermula Rabu ini merupakan satu penghormatan besar. Namun bagi pemain-pemain Malaysia, laluan untuk mencari penghormatan tersebut cukup berliku.
Belum pun kejohanan bermula, pemain-pemain utama negara sudah terasa kegetiran cabaran yang bakal dilalui apabila diundi bersama pencabar yang kuat.
Bermula dengan perseorangan dan beregu lelaki, hinggalah kepada perseorangan serta beregu wanita, tiada yang terlepas daripada terpaksa mengharungi laluan penuh mencabar.
Datuk Lee Chong Wei dan beregu Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, yang menjadi sandaran utama untuk membawa pulang kejuaraan perlu berada pada tahap terbaik jika mahu mengelak daripada tersingkir awal.
Chong Wei, yang mengidamkan kejuaraan Seluruh England pertama dalam kariernya dijangka berdepan pemain yang telah dua kali mengecewakannya pada Kejohanan Dunia, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia di pusingan kedua.
Jika ke suku akhir, dijangka menanti pemain nombor satu dunia itu pula adalah jaguh muda Denmark, Jan O Jorgensen. Jorgensen telah menyingkirkan Chong Wei pada pusingan kedua Terbuka China, tahun lalu.
Pada separuh akhir, ada Peter Hoeg Gade dari Denmark atau bekas juara Olimpik, Taufik Hidayat dari Indonesia bakal menanti.
Chong Wei akan memulakan kempen dengan bertemu pemain India, Chetan Anand.
Sementara itu, keadaan lebih buruk buat juara Seluruh England 2003, Hafiz Hashim apabila bakal memulakan aksi dengan menentang pemain yang baru mengejutkannya di Terbuka Malaysia, Januari lalu, Hsieh Yu Hsing dari Taiwan.
Belum sempat menarik nafas, juara Olimpik, juara dunia dan juara Seluruh England tiga kali, Lin Dan dari China pula bakal menanti di pusingan kedua.
Dua lagi jaguh China, Bao Chunlai dan Chen Jin turut menunggu di suku dan separuh akhir andai Hafiz berjaya meneruskan kemaraan.
Jaguh veteran negara, Wong Choong Hann, yang mendapat tempat dalam senarai awal skuad Piala Thomas memulakan kempen dengan menentang jaguh Indonesia, Simon Santoso.
Chong Wei Feng pula akan beraksi dari pusingan kelayakan.
"Saya memang tidak seharusnya terlalu terburu-buru dengan terus memikirkan tentang mara ke perlawanan akhir kerana undian kali ini amat sukar.
"Cuma, di sudut hati saya memang saya mengimpikan untuk bertemu Lin Dan pada perlawanan akhir. Lagipun saya sudah lama tidak menentangnya, saya rasa peminat juga memang menanti-nantikan pertembungan kami di Seluruh England nanti,'' kata Chong Wei.
Laluan getir juga menanti pasangan nombor satu dunia dan juara 2007, Kien Keat-Boon Heong, yang memulakan kempen dengan berdepan beregu berpengalaman Denmark, Lars Paaske-Jonas Rasmussen.
Di suku akhir, pasangan Indonesia Alvent Yulianto-Hendra Aprida Gunawan atau beregu China, Chai Biao-Zhang Nan mampu memusnahkan impian.
Di separuh akhir, juara Olimpik, Markis Kido-Hendra Setiawan pula bakal menunggu.
"Saya memiliki keyakinan terhadap diri sendiri dan pasangan saya. Kami akan beraksi sebagai pilihan pertama buat kali pertama, jadi adalah perkara biasa bila semua mengharapkan kami pulang bersama kejuaraan.
"Ia tidak mudah dengan kehadiran semua 16 pasangan terbaik dunia, malah ada yang tampil dengan segar kerana tidak bertanding di Terbuka Malaysia.
"Saya akui, pertandingan kali ini cukup getir, tetapi ia juga amat mengujakan. Kami bersedia untuk menjuarai gelaran Seluruh England pada ulang tahunnya yang ke-100, ia tentu menakjubkan,'' ujar Kien Keat.
Cabaran beregu lelaki negara turut dipikul dua pasangan profesional, Gan Teik Chai-Tan Bin Shen dan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.
Dalam perseorangan wanita, Mew Choo tidak bernasib baik apabila terpaksa berdepan jaguh nombor tiga dunia dan juara Terbuka China, Jiang Yanjiao seawal pusingan pembukaan.
Yanjiao menang mudah 21-16, 21-11 ke atas pemain utama negara itu pada pertemuan terakhir kedua-dua mereka di China Masters, September lalu.
Dua lagi perseorangan wanita negara, Lydia Cheah dan Anita Raj Kaur memulakan aksi dari pusingan kelayakan.
Saingan beregu wanita menyaksikan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui berjaya mengelak daripada bertemu pasangan China di pusingan awal tetapi akan menentang beregu Indonesia, Greysia Polii-Meiliana Jauhari pada pusingan pertama.
Kali terakhir Malaysia membawa pulang gelaran Seluruh England adalah menerusi Kien Keat-Boon Heong pada 2007, manakala Hafiz merupakan pemain negara terakhir muncul juara perseorangan pada 2003.
Rekod pemain Malaysia paling banyak memenangi kejuaraan prestij ini masih dipegang Datuk Eddy Choong, yang muncul juara tujuh kali - empat dalam perseorangan, manakala tiga lagi dalam saingan beregu.
Edisi ke-100 Seluruh England bakal diadakan di gelanggang tradisinya, Arena Tertutup Birmingham dari 9-14 Mac ini.


Hotmail: Trusted email with powerful SPAM protection. Sign up now.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin
There was an error in this gadget

Click the Titles below for more details.